Tuesday, March 4, 2014

Sudarsono Yakin Kesukaran Yang Dihadapi Sarawak Jadi Pemangkin Untuk Terus Berjaya

 
 
KUCHING : Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak ( FAS ) , Datu Sudarsono Osman ingin melihat skuad Ngap Sayot menjadi semakin kuat walaupun berhadapan pelbagai halangan.

Beliau merujuk tentang situasi di mana jadual perlawanan pasukan bola sepak negeri pada musim ini lebih kerap bermain pada Selasa berbanding Sabtu.

“Memandangkan Selasa adalah hari biasa, tidak ramai penyokong dari seluruh negeri datang ke Kuching untuk menyaksikan perlawanan dan kita hanya bergantung kepada penyokong dari Bahagian Kuching dan Samarahan sahaja.

 “Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan pasukan bola sepak negeri sentiasa bermain sebagai tuan rumah pada hari yang sesuai,” katanya di sini semalam.

Keadaan geografi menjadi faktor bagi Sarawak sebagai sebuah negeri besar di Malaysia dan ramai penyokong dari bahagian lain perlu melalui perjalanan jauh untuk ke Stadium Negeri di Kuching menyaksikan setiap perlawanan.

Justeru itu, Sudarsono juga simpati dengan para pelajar dan remaja kerana mereka tidak dapat berada lama di stadium kerana perlu bangun awal untuk bersekolah pada keesokan harinya. Perlawanan Liga Super ditetapkan dua kali seminggu iaitu pada Sabtu dan Selasa.

Menurut Sudarsono, surat telah ditulis kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu tetapi setakat ini tiada maklum balas diberikan oleh badan induk tersebut.

“Saya berharap ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Seperti pasukan lain dalam Liga Malaysia, kita perlu memenuhi stadium dan perlawanan tuan rumah berlangsung pada hujung minggu adalah lebih diperlukan berbanding hari biasa,” katanya.

Namun, beliau percaya halangan yang dihadapi skuad negeri pada musim ini akan menjadi pemangkin kepada pasukan Sarawak untuk menjadi lebih baik. Sarawak akan bermain 22 kali dalam Liga Super musim ini.

Daripada 11 perlawanan di laman sendiri, enam perlawanan adalah pada Selasa dan lima perlawanan pada Sabtu.

No comments:

Post a Comment