Tuesday, June 12, 2018

Skandal Terbesar Dalam Sejarah Sukan Sarawak, RM91 Juta Dana FAS Lesap — Posa

KUCHING: RM91 juta. Ya, RM91 juta. Itu jumlah dana Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang dilesapkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab, dedah Presidennya, Datuk Posa Majais hari ini.
Malah pendedahan ini menjadikan ia skandal terbesar dalam sejarah sukan negeri Sarawak.
Justeru itu, beliau menggesa “pihak berkenaan” berhenti menggunakan nama FAS untuk kepentingan peribadi.
Posa mendakwa mempunyai bukti kukuh permainan ‘kotor’ tersebut.
“Saya tidak mempunyai pilihan lain kecuali mendedahkan salah laku pihak terbabit jika terpaksa.



“Ini demi menjaga imej dan maruah FAS,” tegasnya sambil menambah perkara itu akan dilanjutkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tegahnya, usah menjadikan FAS sebagai “kambing hitam” untuk mengaut keuntungan peribadi.
“Hentikan tindakan anda (salah guna nama FAS). Jelaskan ke mana pergi wang RM91 juta itu yang diperoleh sejak 2015 hingga 2016,” ugutnya.
Posa mendedahkan, kesemua wang itu diperoleh dengan menggunakan nama FAS.
Beliau berkata, pihaknya juga memiliki rekod transaksi pembayaran kepada FAS dibuat oleh pihak tertentu.
Menyedari tindakannya itu mungkin mendatangkan keresahan kepada pihak terbabit, Posa berkeras mengatakan langkah drastik itu perlu bagi mengekalkan FAS sebagai badan induk bola sepak yang berintegriti. 
Kredit:–Sarawakvoice

Thursday, February 2, 2017

FAS Anjur Program Khas Untuk Skuad Lagenda Sarawak Liga Perdana 1997

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua Penyokong Bolasepak Sarawak (SFS)...

KUCHING: Tarikh 3 Februari ini pasti mengembalikan nostalgia kepada peminat dan juga penyokong bola sepak Sarawak apabila pemain Sarawak yang menjuarai Liga Perdana 1997 terlibat dengan perlawanan persahabatan menentang pilihan 'King of Croc's' di Stadium Negeri bermula jam 3 petang esok.


Menurut Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan, perlawanan tersebut diadakan bagi memperingati kejayaan Sarawak menjuarai Liga Perdana 1997 dimana beberapa bekas bintang Sarawak turut beraksi.

Beliau berkata, antara bekas pemain yang terlibat termasuk David Evans, Alistair Edwards, Ramos Sari, Ramles Sari, Mazlan Wahed, Billy Bone, John Hunter, Jalil Ramli dan ramai lagi.


"Selain itu, pada 4 Februari kelak, kita akan mengadakan beberapa program sempena memperingati kejayaan skuad Liga Perdana 1997 di Dataran Stadium.

"Antara aktiviti yang dirancang seperti konsert mini, gerai jualan jersi, gerai GB13, penjualan cenderamata dan pameran jersi lama," katanya.

Pada sebelah petang pula menurut Razali, sesi pengenalan pemain-pemain dan pegawai Piala Presiden, Piala Belia dan Skuad Kuching yang akan menyertai Liga FAM diadakan.

Kredit: Sarawakiana