Monday, August 25, 2014

NGAP SAYOT "TENGGELAM"

 
KUCHING: Sarawak kempunan melakarkan kemenangan apabila tewas tipis 2-1 di pangkuan Kedah pada aksi Piala Malaysia 2014 di Stadium Negeri di sini malam tadi. Beraksi di kandang sendiri, skuad Ngap Sayot nampak garang pada awal babak apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Sang Kenari.

Ketua pasukan, Joseph Kalang Tie melakukan ujian awal ke gawang Kedah pada minit ke-11 namun bola rembatannya dari luar kawasan penalti agak sipi. Anak-anak buah Robert Alberts terus melakukan asakan dengan percubaan baik menerusi tandukan oleh pemain import, Gabor Gyepes pada minit ke-16 namun ditangkap kemas oleh penjaga gol pasukan pelawat.

Bagaimanapun, Kedah sekali-sekala melancarkan serangan berjaya menembusi gawang Sarawak dengan jaringan pada minit ke-30 hasil sentuhan Muhd Farhan Roslan setelah menerima hantaran cantik Nam Kung Woong. Babak pertama, Sarawak ketinggalan 1-0 kepada pasukan pelawat memaksa Alberts memerah otak merencana strategi ampuh untuk anak-anak buahnya melakukan sesuatu terbaik bagi menggembirakan ribuan penyokong setianya.

Percaturan Alberts nyata berbisa apabila penyerang import, Ryan Alan Grif-fiths menjaringkan gol pen-yamaan pada minit ketiga babak kedua hasil umpanan cantik S Chanturu. Minit ke-61, Sarawak hampir-hampir menghasilkan jaringan apabila Rashid Aya melakukan tandukan padu yang tersasar sedikit di pintu gol kedah.

Sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil, Kedah menghukum Sarawak dengan jaringan kemenangan oleh Billy Osman Mehmet. Kekalahan itu ternyata menyentap semangat Ngap Sayot untuk bersaing merebut tempat dua pasukan ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, Sarawak perlu melangsaikan kesemua baki tiga perlawanan timbal-balik Kumpulan B yang akan bermula Rabu ini. Sarawak kini kekal dengan tiga mata hasil satu kemenangan menentang Terengganu di tempat sendiri pada aksi pembukaan.

Skuad Ngap Sayot akan berkunjung ke Alor Setar, Rabu ini (27 Ogos) untuk membuat perhitungan timbal-balik dengan Kedah sebelum melayan kunjungan Perak di Stadium Negeri Kuching pada 30 Ogos (Sabtu) depan.