KUCHING: Skuad Ngap Sayot melakarkan keputusan seri pertama pada
saingan Liga Super 2014 selepas mengikat Johor Darul Takzim (JDT) 1-1 di
Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Johor malam kelmarin.
Sebelum
perlawanan bermula, Sarawak dilihat menghadapi misi mustahil untuk
mencuri mata memandangkan lawan yang ditentang merupakan pasukan
‘glamor’ yang menghimpunkan sebahagian besar pemain kebangsaan dan
berstatus bintang.
Sebaliknya, Sarawak terlebih dahulu mengejutkan
tuan rumah dengan jaringan cantik dari luar kotak penalti menerusi S
Chanthuru pada minit ke-16.
JDT yang tersentak dengan jaringan itu
merangka serangan menerusi bekas penyerang kebangsaan, Argentina
Luciano Figueroa namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan Sarawak
yang diterajui Gabor Gyepes.
Usaha berterusan JDT menyamakan
kedudukan berhasil pada minit ke- 26 selepas Luciano berjaya melepasi
perangkap ‘offsaid’ sekali gus mudah menewaskan Sani Anuar Kamsani.
Separuh
masa pertama turut menyaksikan penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi
terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas bertembung dengan Mohd
Rashid Aya.
Bermula babak kedua, JDT merancang serangan bertali
arus untuk menjaringkan gol kemenangan termasuk membawa masuk Pablo
Aimar namun gagal merobek gawang Sarawak.
Perlawanan agak seimbang pada separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan.
Keputusan itu meletakkan Sarawak kekal di tangga ketujuh liga selepas mengumpul 13 mata.
Ketua
jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata sepatutnya Sarawak boleh
menang dalam perlawanan itu namun beberapa peluang terhidang tidak
dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
“Namun sesuatu yang positif
dalam perlawanan ini apabila kita berjaya mencuri satu mata dari
gelanggang lawan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau turut memuji aksi anak-anak buahnya yang tidak gugup biarpun menentang pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman.
“Pemain
berjaya menyerap tekanan biarpun beraksi menentang pasukan yang
dibarisi pemain-pemain penuh berpengalaman selain beraksi di hadapan
penyokong tuan rumah,” katanya.
Perlawanan seterusnya menyaksikan
Sarawak menantikan kunjungan Terengganu di laman sendiri, Stadium Negeri
Kuching pada 4 April depan.
No comments:
Post a Comment