Sarawak benam anak buah Fandi Ahmad 3-1 dengan barisan pemain tempatan tanpa penyerang import
KUCHING:
Biarpun bermain tanpa penyerang import, Sarawak tidak menghadapi
masalah besar untuk membenam pasukan Lions XII pada saingan Liga Super
2014 malam kelmarin.
Beraksi di Stadium Negeri di sini, skuad Ngap Sayot hanya bergantung kepada pemain tempatan untuk mengasak kubu lawan.
Pencaturan
ketua jurulatihnya, Robert Alberts ternyata membuahkan hasil apabila
anak-anak buahnya mendominasi perlawanan dan melancarkan serangan
bertali arus.
Dalam keadaan hujan turun tanpa henti, jentera
serangan Sarawak yang diterajui Joseph Kalang Tie dan Mohd Rashid Aya
sering mengasak kubu Lions XII memaksa pasukan pelawat bekerja keras
menangkis serangan mereka.
Usaha Joseph bersama rakan sepasukan
akhirnya membuahkan hasil apabila S. Chanturu menjaringkan gol pertama
pada minit ke-16 selepas menerima lontaran jauh Ronny Harun.
Pasukan
pelawat yang sekali-sekala melancarkan serangan berjaya menyamakan
kedudukan pada minit ke-35 menerusi tandukan Nazrul Nazari.
Selepas
jaringan penyamaan itu, anak-anak buah Fandi Ahmad semakin bernafsu
untuk merobek gawang Sarawak namun kekentalan pertahanan pasukan tuan
rumah banyak menggagalkan usaha mereka.
Bagaimanapun, serangan
pantas Sarawak pada minit ke-40 membolehkan Chanturu menjaringkan gol
peribadi keduanya dalam perlawanan itu selepas menerima lorongan cantik
daripada Lot Abu Hassan.
Babak kedua perlawanan menyaksikan
kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan tuah terus memihak kepada
Sarawak apabila berjaya menambahkan jaringan.
Kali ini Mohd
Rashid Aya mencetak jaringan ketiga Sarawak pada minit ke-75 selepas
menerima hantaran cantik daripada Mohd Hairol Mokhtar.
Keputusan itu meletakkan Sarawak melonjak ke tangga ketiga di belakang Terengganu dan Kelantan.
Alberts
yang ditemui selepas perlawanan ternyata gembira dengan keputusan itu
biarpun mengakui secara keseluruhan perlawanan berlangsung dalam keadaan
hujan.
“Keputusan ini menakjubkan biarpun beraksi dalam hujan.
Saya gembira dengan prestasi semua pemain yang berjaya menyerapkan
pelbagai tekanan,” katanya.
Alberts berkata, jentera pertahanannya juga menampilkan prestasi terbaik dalam mempertahan kubu mereka daripada asakan lawan.
Sebelum perlawanan, ribuan penyokong Sarawak dan pemain kedua-dua pasukan bertafakur seminit untuk keselamatan pesawat MH370.
Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 22 Mac (Sabtu) menentang Pahang.
Credit Post By BORNEOPOSTONLINE
Credit Post By BORNEOPOSTONLINE
No comments:
Post a Comment