KUCHING: Skuad Ngap Sayot muda bersedia melakar satu lagi kejutan
pada saingan Piala Presiden 2014 apabila menentang Kelantan di Stadium
Sultan Muhammad IV, Kota Bahru petang esok.
Ketua Jurulatihnya,
Johnny Dominicus berkata skuad muda Sarawak mula menunjukkan petanda
kebangkitan setelah berjaya mengejutkan Kedah 1- 0 di laman lawan pada
Khamis lalu.
“Kemenangan pertama di gelanggang lawan jelas menunjukkan pemain-pemain mula yakin akan kemampuan diri mereka masing-masing.
“Ini
petanda baik dan saya mengharapkan semua pemain akan mengekalkan rentak
terbaik mereka pada perlawanan seterusnya,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun, Johnny tetap mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terus dibuai mimpi dengan kemenangan yang telah dikecapi.
Sebaliknya,
beliau berharap agar pemain-pemain memantapkan semua posisi kerana
mereka bakal berdepan dengan satu lagi tugas mencabar esok.
“Kita tahu Kelantan bukan lawan yang mudah kerana mereka mempunyai ramai pemain berkebolehan.
“Namun,
ia bukan alasan untuk kita gagal memburu mata dan saya menuntut semua
pemain meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan esok,” ujarnya.
Menurut
Johnny, pemainpemainnya berada dalam ‘mood’ terbaik ketika ini dan
bersedia untuk melakarkan kejutan ke atas skuad Cik Siti Wan Kembang
nanti.
Pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Negeri sebelum ini memihak kepada Kelantan dengan kemenangan besar 4-1.
Sarawak akan turun tanpa khidmat kaptennya, Shreen Tambi yang digantung dua perlawanan kerana mengutip enam kad kuning.
Bagaimanapun,
mereka akan diperkuatkan dengan khidmat dua pemain Liga Super iaitu
Daglish Papin Test dan Muhammad Dzulfadli Awang Marajeh.
Johnny berkata, kehadiran dua pemain senior itu banyak membawa impak dan perubahan dalam corak permainan skuadnya setakat ini.
Setelah mengharungi 11 perlawanan dalam saingan Kumpulan A, Sarawak masih berada pada kedudukan kesembilan dengan sembilan mata.
(C) BORNEOPOSTONLINE
No comments:
Post a Comment