SKUAD Sarawak kini dalam
proses menguji kelibat dua calon import penyerang baharu, Karim Darbaki,
21 dari Maghribi dan David Strihavka, 31 dari Republic Czech.
Kedua-dua pemain terbabit
tiba di Kuching malam kelmarin dan mula berlatih bersama pemain lain
selain diberi peluang mempamerkan aksi masing-masing dalam perlawanan
sesama sendiri di Stadium Sarawak, Petra Jaya petang semalam.
Ketua Jurulatih Sarawak,
Robert Alberts berkata, ia proses awal beliau dalam mengenal pasti calon
import penyerang baharu ke arah memantapkan jentera serangan pasukan.
Bagaimanapun tegas Alberts,
kedua-dua pemain terbabit (Karim Darbaki & David Strihavka) dinilai
prestasi mereka sepanjang seminggu diberi peluang berlatih bersama
skuad Sarawak.
"Kedua-dua pemain ini datang dengan rela hati untuk diuji dan bukannya diundang oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), dan saya akan cuba menilai kemampuan mereka sepanjang seminggu ini," kata Alberts ketika mengulas perkara itu.
Menurut Alberts, beliau tidak menolak kemungkinan akan memilih yang terbaik dari kedua mereka sekiranya benar-benar bagus dan menepati kriteria diinginkan selaku penyerang.
Karim Darbaki pernah
menyertai kelab dari Brazil, Caremio Barveri selama enam bulan sambil
David Strihavka pernah mewakili kelab dari Beirut, Al-Ahed (2013).
Ditanya mengenai import baharu dari Australia yang menggantikan bekas penyerang kelahiran Iran, Alireza Abbasfard iaitu Ryan Griffiths, alberts menegaskan, penyerang baharu Sarawak itu akan tiba di Kuching dua hari lagi.
"Ketika ini import dari
Australia (Ryan Griffiths) sah akan bersama Sarawak, dia akan tiba di
Kuching dalam sehari dua ini dan dijangka dapat diturunkan pada
perlawanan menentang Selangor pada 25 Mac nanti," kata Alberts lagi.
Proses pendaftaran pemain
baharu bermula pada 22 Mac ini dan jika urusan berjalan lancar besar
kemungkinan akan dapat menyaksikan aksi pertama Ryan Griffiths menentang
Selangor (25 Mac) di Stadium Negeri, Patra Jaya.
Dalam perkembangan sama,
Alberts menjelaskan, seorang lagi calon penyerang dari Cameroon juga
dijangka akan tiba dalam masa terdekat ini untuk tujuan sama.
No comments:
Post a Comment