Wednesday, January 15, 2014

S’wak Bertapa Di Puncak Borneo


SKUAD bola sepak Sarawak kini ’bertapa’ di Puncak Borneo sebagai rangka persiapan terakhir menjelang kempen Liga Super 2014 yang dibuka tirainya Sabtu ini. Pagi semalam barisan pemain Ngap Sayot mengadakan lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh (PHLS) yang terletak sekitar 24 kilometer dari pusat bandar Kuching. PHLS mula dibuka pada 1975.

Selepas itu mereka meneruskan perjalanan ke Puncak Borneo untuk mengikuti Kem Motivasi selama dua hari satu malam. Menurut jurulatih Sarawak, Robert Alberts, dalam lawatan ke PHLS semua pemain Sarawak menjadikan orang utan sebagai anak angkat masing-masing. "Melalui lawatan seumpama ini kita mahu pemain Sarawak tidak hanya fokus terhadap bola sepak, tetapi mereka juga boleh menjadi duta dalam pemuliharaan orang utan di negeri ini," kata Alberts.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman. Alberts berkata, dengan adanya lawatan itu pemain akan mempunyai kesedaran yang tinggi sebagai duta kesedaran pemuliharaan orang utan.

"Di samping itu, aktiviti seumpama ini juga boleh mengurangkan tekanan kepada pemain ketika saingan Liga Super 2014 semakin dekat," ujarnya. "Ketika berada di Puncak Borneo selama dua hari satu malam, para pemain akan diberi perangsang dan semangat,selain menyertai aktiviti kayak," jelasnya.

Alberts menyedari saingan dalam Liga Super musim baharu ini agak mencabar berbanding Liga Perdana. “Kita akan memberi saingan sengit kepada semua pasukan dalam Liga Super termasuk saingan Piala FA dan Piala Malaysia,” ujarnya. Sarawak akan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) FC di Stadium Selayang dalam aksi buka tirai Sabtu ini.

Selepas itu Sarawak akan menentang Pulau Pinang di Kuching pada Selasa (23 Januari) dalam saingan pusingan pertama Piala FA. Sarawak merupakan juara Liga Perdana 2013 dengan rekod tidak terkalah sepanjang saingan. Sarawak juga berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dalam kempen Piala Malaysia 2013.

No comments:

Post a Comment