KUCHING:
Penyudah tumpul jentera serangan skuad Ngap Sayot meresahkan ketua
jurulatihnya, Robert Alberts selepas gandingan Milorad Janjus dan
Alireza Abasfard sukar untuk merobek gawang lawan.
Kegagalan
kedua-dua pemain import itu meledakkan jaringan antara faktor penyebab
kekalahan Sarawak di tangan Kelantan dalam saingan Liga Super 2014 di
Stadium Negeri malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Sarawak
hampir pasti meraih satu mata selepas dua perlawanan namun gol minit
ke-90 jaringan penyerang import, Francis Forke Doe meranapkan impian
Ngap Sayot.
Sarawak membariskan tiga pemain import termasuk Gabor
Gyepes sepatutnya mampu menjaringkan gol terutamanya pada separuh masa
pertama.
Jaringan Joseph Kalang Tie pada minit ke-43 babak pertama
perlawanan dibatalkan pengadil apabila arkitek Sarawak itu berada dalam
posisi ‘ofsaid’.
Kemasukan Akmal Rizal pada separuh masa kedua
hampir berjaya menjaringkan gol namun percubaannya dinafikan penjaga gol
Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Alberts yang ditemui selepas perlawanan melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu terutamanya ketumpulan jentera penyudahnya.
Bagaimanapun,
katanya, semua pemain juga nampak keletihan selepas mengharungi
perlawanan 120 minit menentang Pulau Pinang pada malam Selasa lalu.
“Semua
pemain menampilkan persembahan terbaik malam ini (kelmarin). Namun
merisaukan saya ialah ketumpulan penyudah yang gagal menyempurnakan
peluang terhidang,” katanya.
Sehubungan itu, Alberts berharap
barisan serangan dapat menampilkan kualiti penyudah lebih berkesan
apabila menentang Sime Darby FC di gelanggang sendiri (Stadium Negeri)
pada 28 Januari ini (Selasa).
“Saya berharap pemain-pemain tidak
mensia-siakan peluang ketika menentang Sime Darby nanti sekali gus
memastikan kita berjaya mengutip tiga mata,” katanya.
Perlawanan pusingan kedua Piala FA menyaksikan Sarawak bertandang ke gelanggang lawan menentang Selangor pada 4 Februari nanti.
No comments:
Post a Comment