TEMPAHAN tiket secara atas talian
("online") untuk perlawanan membabitkan pasukan Sarawak di Stadium
Negeri, Petra Jaya hanya akan dibuka kepada peminat sepuluh hari sebelum
perlawanan. Demikian dijelaskan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola
Sepak Sarawak (FAS), Datu Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki pada sidang
media di Pejabat Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah semalam. "Musim
ini kita memperkenal tempahan tiket secara "online" kepada para peminat
bagi memudahkan mereka.
Namun, tempahan hanya akan dibuka
sepuluh hari sebelum tarikh perlawanan," kata Abu. Sambil menyatakan
peminat yang ingin membuat tempahan secara talian boleh melayari laman
sesawang ataupun "Facebook" Persatuan Bola Sepak Sarawak.
Menurut Abu, proses tempahan tiket
secara talian ini amat mudah dengan peminat hanya perlu memasukan data
peribadi beserta nombor kad pengenalan mereka. "Apabila proses tempahan
telah dibuat, mereka akan menerima satu salinan tempahan yang telah
dibuat dan peminat boleh menuntut tiket sebenar masuk ke Stadium Negeri,
Petra Jaya untuk perlawanan pada tarikh ditetapkan itu di empat lokasi
yang ditetapkan," kata Abu yang turut menyatakan proses pembayaran
tempahan dibuat melalui kad kredit dan bayaran terus ke akaun bank
ditetapkan.
Tempat bagi peminat menuntut tiket yang
ditempah secara talian itu ialah Stadium Negeri, Lea Sports Centre,
Wisma Hopoh, Lea Sports Centre Sarawak Plaza selain Lea Sports Centre
Kuching Central. Dalam pada itu, Abu menyatakan, pihaknya tidak
bercadang melakukan jualan tiket secara talian secara menyeluruh
sebaliknya menetapkan untuk 50 peratus sahaja.
"Kita juga akan menjual tiket seperti
biasa di kaunter Stadium Negeri, Petra Jaya sebelum hari perlawanan
selain di premis Lea Centre, Wisma Hopoh. Dan jualan untuk secara talian
pada kadar 50 peratus sahaja," katanya. Sementara itu, pihak FAS juga
sudah mula menjual tiket bermusim dengan harga RM700 pentas utama B
(Grandstand B), RM500 (Tempat Duduk Tertutup Teres) dan RM300 (Tempat
Duduk Terbuka).
"Seperti biasa kita sudah pun menjual
tiket bermusim dengan harga ditetapkan itu dan saya percaya ia akan
dapat memberi keselesaan kepada peminat," jelas beliau sambil
memberitahu tiket tersebut digunakan untuk kemasukan ke Stadium Negeri,
Petra Jaya sepanjang musim ini merangkumi saingan Liga Super, Piala FA
dan Piala Malaysia. Hadir sama dalam sidang media semalam ialah
Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi dan Ketua Pegawai Operasoi (COO)
MyElink Sdn. Bhd., Dr Wong Wing Seong.
No comments:
Post a Comment