Thursday, December 19, 2013

Sudarsono Puji Peningkatan Mutu Permainan Para Pemain Piala Isuzu Bawah 19 Tahun

 

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman memuji persembahan para pemain yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Isuzu Bawah 19 Tahun.

Ujarnya, kebanyakan pemain yang mewakili tujuh pasukan pada kejohanan tersebut telah menunjukkan peningkatan dari segi kualiti permainan dan ia satu perkembangan yang cukup membanggakan persatuan.

Justeru, Sudarsono berharap kejohanan julung kali diadakan itu akan menjadi aktiviti tahunan FAS bagi menyuntik semangat pemain- pemain remaja agar terus berusaha meningkatkan permainan masing-masing.

“Matlamat utama persatuan adalah untuk melihat skuad senior Sarawak yang beraksi dalam Liga Malaysia diwakili oleh semua pemain tempatan,” katanya semasa majlis makan malam sempena kejohanan tersebut di sini kelmarin.

“Maka, lahirlah idea untuk menganjurkan kejohanan ini sebagai landasan mencari pemain pelapis yang dapat mewakili negeri di peringkat tinggi selepas ini.”

Katanya, meskipun FAS terpaksa berbelanja besar untuk menganjurkan pertandingan tersebut, ia nyata berbaloi setelah melihat peningkatan mutu permainan para pemain remaja.

Sudarsono turut merakamkan penghargaan terhadap penaja Isuzu Malaysia dan penganjur Persatuan Bola Sepak Samarahan (PBSS) kerana berjaya mengelolakan kejohanan tersebut dengan baik.

Hadir sama Timbalan Presiden FAS Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki, Naib Presiden Razali Dolhan, Presiden PBBS Haidel Heli dan Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) Duke Janteng.

Dalam pada itu, Kejohanan Bola Sepak Piala Isuzu Bawah 19 Tahun yang bermula 15 Disember lalu kini memasuki fasa separuh akhir yang berlangsung hari ini.

Ia melibatkan pertemuan skuad Kuching menentang Young Crocs/SFDP17 manakala Limbang bertemu dengan Miri.

Kedua-dua perlawanan akan diadakan di padang Unimas 1 dan 3 bermula jam 3 petang.
Saingan tempat ke-3 dan ke-4 akan berlangsung pada 21 Disember bertempat di Stadium Mini Samarahan pada jam 3 petang.

Manakala final akan diadakan di Stadium Unimas pada hari sama jam 8.15 malam.

No comments:

Post a Comment