KUCHING:
Skuad Kuching bersedia memburu kejuaraan pada Kejohanan Bola Sepak
Piala ISUZU-FAS Bawah 19 Tahun Sarawak 2013 yang akan disingkap tirainya
dari 15 hingga 21 Disember di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Diletakkan
selaku skuad pilihan, Pengurus Pasukan Ahmad Zaki Zaidi optimis sasaran
memburu slot ke final dapat dicapai jika kesemua pemain memberikan
persembahan terbaik.
Malah, beliau percaya skuad yang baharu
dibentuk itu cukup matang untuk mengibarkan cabaran berbekalkan
bimbingan dari trio jurulatih yang juga bekas pemain Sarawak, Ideris
Untong, Nizam Mahmud dan Zulkarnaen Poasa.
“Sudah tentu kita mahu
memburu kejuaraan pada kejohanan sulung ini dan saya optimis pemain juga
tidak sabar untuk memulakan cabaran.
“Insyaallah, jika pemain
bermain mengikut pelan yang telah dirancang oleh jurulatih, impian kita
untuk bergelar juara pasti tercapai,” katanya semasa majlis penyerahan
jersi rasmi pasukan kelmarin.
Menurutnya, majoriti pemain skuad
tersebut dipilih daripada liga remaja AXIS dan mereka menjalani latihan
di Padang Semarak, Gita sejak sebulan lalu.
Zaki bagaimanapun
mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu mendabik dada kerana
skuad lain turut mengintai peluang yang sama.
Tegas beliau, skuad
lain pastinya turut menurunkan barisan terbaik yang disertai perancangan
teliti agar misi menjulang kejuaraan terlaksana.
Kuching diundi
bersama Bintulu dan Miri dalam Kumpulan B sambil tuan rumah Samarahan
berada dalam Kumpulan A bersama Limbang, Sibu dan SFDP 17.
Dalam
pada itu, jadual perlawanan yang dikeluarkan semalam menyaksikan Kuching
akan memulakan cabaran menentang Miri dalam Kumpulan B pada 15
Disember, jam 8.30 pagi.
Satu lagi perlawanan pada jam sama melibatkan pertemuan di antara Sibu dan SFDP 17 dalam Kumpulan A.
Manakala Samarahan yang turut diundi dalam Kumpulan A menanti kunjungan Limbang pada jam 8.15 malam pada hari yang sama.
No comments:
Post a Comment