Monday, December 2, 2013

SARAWAK JUMPA PULAU PINANG

          SARAWAK mendapat laluan mudah dalam kempen Piala FA 2014 apabila diundi bertemu pasukan Pulau Pinang dalam pusingan pertama. Namun anak-anak buah Robert Alberts bakal berdepan ujian getir sekiranya layak ke pusingan kedua kerana akan bertemu sama ada Selango atau Harimau Muda C. Di atas kertas Sarawak dijangka akan bertemu Selangor.
              Sementara itu, penyerang import baharu Sarawak, Akmal Rizal Rakhli menunjukkan aksi hebat ketika perlawanan persahabatan sesama sendiri di Stadium negeri Petra Jaya Kuching petang semalam yang disaksikan hampir seribu penonton. Selain Akmal, calon import dari Belanda (bek tengah), Ronaldo juga menunjukkan prestasi yang meyakinkan.
              Menurut jurulatih Sarawak, Robert Alberts, sekarang ini mereka memang mencari calon paling sesuai untuk mengisi bek tengah yang dianggapnya sebagai posisi penting sepanjang Sarawak mengharungi kempen Liga Super musim depan. Berdasarkan corak permainan petang semalam, ternyata calon import dari Belanda itu menunjukkan ciri-ciri yang dikehendaki. Ronald pernah bersama kelab ternama Belanda sebelum ini iaitu PSV Eindhoven.
           Bagaimanapun calon dari Hungary (bek tengah) gagal memberikan impak yang dikehendaki. Begitu juga dengan penyerang dari Australia dan Iran. Perlawanan persahabatan sesama sendiri semalam diadakan seawal pukul 3.00 petang. Sementara itu, juara Piala Malaysia, Pahang menempuh laluan berliku dalam pusingan pertama kejohanan Piala FA 2014 selepas diundi untuk berdepan dengan juara dua kali iaitu Perak. Perak merupakan juara pada 1990 dan 2004.
            Dalam majlis undian yang turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin itu menyaksikan finalis Piala FA 2012, Sime Darby FC turut berdepan ujian getir selepas dijadual bertemu juara Piala Sumbangsih musim ini Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dua finalis musim ini iaitu Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaimanapun mendapat ’bye’ pada pusingan pertama selepas masing-masing muncul juara dan naib juara.
            Kelantan akan menentang pemenang antara Pahang Kuantan FA atau Sabah pada pusingan kedua manakala JDT bakal bertemu pemenang perlawanan antara T-Team dan UiTM FC. Pusingan pertama Piala FA akan berlangsung pada 21 Januari depan sebelum pusingan berikutnya pada 4 Feb.
Sementara itu ketua jurulatih Kelantan yang baharu Steve Darby memberi amaran kepada pemainnya agar tidak memandang mudah terhadap sebaran pasukan yang bakal mereka hadapi di pusingan kedua.
              "Saya tidak tahu banyak mengenai Pahang Kuantan FA tetapi Sabah merupakan pasukan yang baik perancangannya. Ramai yang fikir pasukan kami akan menentang Sabah (di pusingan kedua) tetapi tidak kisahlah kerana apa saja boleh berlaku," katanya. Beliau turut tidak menetapkan sasaran buat pasukannya walaupun Kelantan berjaya mempertahankan Piala FA sejak 2012. "Ia bagus sekiranya kami menang Piala FA kerana ia memberi kami peluang bermain di Piala AFC," katanya.
                FAM masih mengekalkan format yang sama untuk saingan Piala FA musim depan iaitu saingan kalah mati untuk pusingan pertama dan kedua sebelum diikuti dengan saingan timbal balik untuk peringkat suku akhir dan separuh akhir. Badan induk bola sepak kebangsaan itu bagaimanapun masih belum menentukan venue untuk final Piala FA 2014 yang dijangka berlangsung pada 7 Jun.

♥♡♥SARAWAK IBUPERTIWIKU♥♡♥

★GM★

No comments:

Post a Comment