Ratusan penyokong GB13 berkumpul laungkan Ngap Sayot suntik semangat skuad Sarawak
SIBU:
Skuad Sarawak yang dibarisi sembilan muka baharu menjelang saingan
hebat Liga Super musim depan mendapat rangsangan positif daripada
penyokong negeri (GB13) dalam usaha merangkul kejuaraan yang didambakan.
Sehubungan
itu, ratusan penyokong GB13 zon enam (Sibu) berkumpul memenuhi ruang
utama Dataran Sibu Fasa 1 melaungkan semangat Ngap Sayot di samping
meningkatkan sokongan padu terhadap kebangkitan pasukan Sarawak.
Kemeriahan
serta semangat yang ditunjukkan cukup kuat di samping rentak lagu serta
alunan muzik hasil gubahan mereka sendiri membuktikan kesungguhan
penyokong Bumi Kenyalang.
“Kami secara umumnya di bawah GB13
Kuching dan malam ini(Sabtu) kami berhimpun untuk memberikan sokongan
padu kepada pasukan bola sepak Sarawak.
“Ini adalah tanda kami
sebagai anak jati Sarawak. Walaupun pada dasarnya bukan setiap masa kami
dapat menyaksikan perlawanan Sarawak, tetapi semangat dan usaha ini
mampu menjadi suntikan positif kepada mereka.
“Malah, ini
menunjukkan keutuhan golongan belia di Sarawak di samping cara yang
mampu kami sumbangkan ke arah pembangunan serta kejayaan yang dicapai
pasukan Sarawak musim depan,” kata Sahrifah Zaimah Wan Zain selaku ketua
penyokong yang berasal dari Kampung Datu, di sini.
Selain itu,
beliau mewakili GB13 zon enam menyuarakan penghargaan kepada ADUN Nangka
Dr Annuar Rapa`ee kerana menyumbangkan set alat muzik (drum) kepada
mereka bagi merancakkan usaha serta kempen dilaksanakan sekitar Sibu.
Sharifah
Zaimah berkata, ini adalah kali ketiga mereka mengadakan kempen
tersebut dan yang pastinya ‘respons’ amat memberangsangkan serta lebih
banyak pelaksanaan bagi zon enam akan dilakukan tahun depan.
Sementara
itu, Dr Annuar yang ditemui memberitahu aktiviti sedemikian adalah
landasan bagi mengumpul golongan belia di sini untuk menyalurkan tenaga
serta sumbangan mereka dengan cara yang positif.
Baginya, aktiviti
ini amat menarik perhatian penglibatan golongan belia yang minat akan
muzik malah melalui kesinambungan tersebut keahliannya bakal bertambah
dari semasa ke semasa.
“Mereka berada di sini untuk menghidupkan sokongan padu serta menyuntik semangat waja kepada pasukan bola sepak Sarawak.
“Suara
anak negeri jika disatukan dengan cara terbaik mampu membuahkan hasil
yang pasti mencipta sejarah baharu, sekiranya semua pihak bekerjasama
dan tiada wujud perbezaan satu sama lain,” jelas beliau.
Bagi
seorang ahli GB13, Rafiki Rasul ini satu yang jarang dilaksanakan sejak
beberapa tahun apabila melihat kesungguhan skuad Sarawak, wujud GB13
petanda baharu mencerminkan keharmonian rakyat Sarawak menyokong pasukan
negeri.
“Sudah pasti, kita sebagai anak Sarawak ingin melihat
kembali ke podium seperti zaman dahulu. Malah, kita yakin banyak bintang
yang membarisi skuad Sarawak mampu menjurus ke arah yang ingin kita
saksikan bersama.
“Usaha yang kita tunjukkan ini antara faktor
pembakar semangat buat para pemain dalam apa juga situasi dihadapi. Aura
GB13 akan kekal bergema di mana juga skuad Bujang Senang berentap
meraih kemenangan mutlak.
“Dalam konteks belia, ia cukup
memncerminkan bahawa anak muda kita sentiasa mahu membangunkan serta
menyumbangkan apa juga cara sekalipun demi negeri tetapi dengan cara
positif dan tidak menjejaskan nama Sarawak,” katanya.
Sembilan
pemain baharu Sarawak musim depan ialah Alireza, Milorad, Gabor Gyepes,
Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Reshafiq Alwi, Mohd Lot Abu Hassan, Mohd
Rashid Aya, S Chanturu Suppiah dan Mohd Fadzley Abdul Rahim bakal
membantu skuad negeri pada saingan Liga Super bermula 18 Januari depan.
Seramai
17 pemain lama dikekalkan selepas pengumuman dibuat oleh Persatuan Bola
Sepak Sarawak (FAS) menyatakan seramai 26 pemain termasuk tiga pemain
import bakal menyarung jersi Ngap Sayot.
No comments:
Post a Comment