Alberts luahkan rasa gembira penyerangnya itu mulai temui kembali sentuhan berbisa
KUCHING:
Penyerang dari Bosnia Muamer Salibasic berada dalam kelas tersendiri
ketika membantu Sarawak menundukkan Selangor PKNS 2-1 pada perlawanan
Liga Super yang berlangsung di Stadium Negeri malam kelmarin.
Muamer
menjaringkan gol kemenangan Ngap Sayot setelah menggelecek dua pemain
lawan sebelum meledak kencang dari luar petak penalti untuk menewaskan
penjaga gol Selangor PKNS Mohd Remezey Che Ros pada minit ke-84.
“Muamer
telah membalas kepercayaan yang kita berikan kepadanya dengan membantu
kita mencapai kemenangan yang cukup penting pada malam ini (malam
kelmarin),” komen Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts kelmarin.
“Saya
cukup gembira melihat Muamer kembali menemui sentuhannya dan berharap
beliau akan mengekalkan rentak cemerlang itu pada perlawanan
seterusnya.”
Menurut Alberts, kemasukan Muamer yang menggantikan
Hassan Mohamad pada separuh masa kedua jelas merubah corak permainan
anak-anak buahnya.
“Beliau mempunyai kawalan serta pergerakan yang lebih baik dalam membantu merangka serangan-serangan yang lebih berkesan.
“Saya
yakin, Muamer akan kembali dalam kesebelasan utama jika terus
mempamerkan corak permainan seperti yang beliau tunjukkan pada malam
ini,” tambahnya.
Jentera serangan kedua-dua pasukan buntu mencipta
jaringan pada separuh masa pertama menyaksikan banyak peluang terbaik
gagal disudahkan dengan kemas.
Keresahan lebih 20,000 penyokong
Sarawak akhirnya berakhir pada minit ke-57 menerusi jaringan pembukaan
kapten pasukan Joseph Kalang setelah rembatannya terbias pertahanan
Selangor PKNS sebelum menerjah ke gawang.
Selangor PKNS yang
mempamerkan permainan bertenaga pada separuh masa pertama membalas
dengan jaringan penyamaan menerusi kapten mereka Mohd Fauzan Dzulkifli
pada minit ke-79.
Tatkala permainan seakan berakhir dengan
keputusan seri, muncul Muamer dengan gerakan menarik sebelum meledak
jaringan kedua bagi memastikan Sarawak mengutip tiga mata penuh di
Stadium Negeri.
Sarawak kekal di tangga kelima Liga Super dengan 25 mata setelah mencatat lapan kemenangan, sekali seri dan tujuh kekalahan.
Mereka akan menentang Perak di Stadium Perak pada Jumaat depan (24 Mei).
No comments:
Post a Comment