Thursday, May 29, 2014

'Langkah Emas' Pendekar Sarawak

 

KANGAR, PERLIS: Pendekar Sarawak menyapu dua emas pada perlawanan akhir silat seni yang berlangsung di Dewan Rakan Sukan, Kompleks Sukan Negeri, Kangar malam kelmarin. Emas pertama disumbang Mohd Firdaus Rahmat dalam acara Solo Jurus Tunggal Putra setelah beliau mengutip markah tertinggi sebanyak 445.

Pesilat Selangor Muhammad Irzad Amier yang mengutip 443 markah meraih perak manakala Kedah menerusi Muhammad Azammuddin menggondol gangsa setelah mencatat 438 markah. Malam cemerlang Sarawak diteruskan dengan pungutan emas kedua dalam acara Jurus Wajib Putri (Regu).

Gandingan pesilat dari Kapit, Farrah Hannim Ismail, Rita Langat dan Christy Sherry Anthony Paing memastikan Sarawak gah selaku johan setelah mengutip 443 markah. Perak dirangkul Fatin Fazliyana, Nik Nur Dalila dan Nur Hidayah dari Terengganu yang meraih 440 markah.

Sementara pesilat Johor Afiqah, Hurun Aqilah dan Noor Hidayah berpuas hati dengan gangsa setelah mengutp 426 markah. Kejayaan itu memastikan skuad silat Sarawak berjaya mencapai sasaran dua emas dalam acara silat seni, demikian menurut Ketua Jurulatih Hussein Zawawi semalam.

“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan pencapaian dua pingat emas menerusi acara silat seni. “Ianya bukan mudah kerana pesilat kita berdepan ramai pencabar yang tidak kurang hebatnya dari negeri lain,” katanya.

Menurut Hussein, Sarawak hanya menyertai lima dari lapan acara yang dipertandingkan, sekali gus menghadkan peluang untuk merangkul emas. “Namun saya cukup berbangga kerana dari lima acara yang disertai kita berjaya membawa pulang dua pingat emas.”

Hussein menambah kejayaan meraih dua pingat emas itu juga berjaya memecah rekod yang dicapai pada SUKMA 2012 di Pahang di mana Sarawak hanya meraih satu emas dan lima gangsa.

Katanya, skuad silat masih berpeluang mencapai sasaran empat pingat apabila dua lagi pesilat, Muhammad Hafiz Remmy Iskandar dan Olivia Chong akan turun dalam acara akhir olahraga (wiralaga) lelaki dan wanita hari ini.

No comments:

Post a Comment