Tuesday, May 27, 2014

Pendekar Kita Menempah Slot Ke Pusingan Akhir



PERLIS: Pendekar Sarawak menempah slot ke pusingan akhir acara silat seni setelah berjaya memukau barisan pengadil pada pusingan awal yang berlangsung di Dewan Rakan Sukan, Kompleks Sukan Negeri, Kangar di sini semalam.

Mohd Firdaus Rahmat berpeluang meraih dua emas setelah melayakkan diri dalam perlawanan akhir bagi dua kategori iaitu Tunggal Putera dan Solo Bebas Putra.

Manakala gandingan Rita Langat, Christy Cherry dan Farrah Hanim mengintai kilauan emas dalam acara akhir Regu Puteri yang akan berlangsung malam ini.

Ketua Jurulatihnya, Hussien Zawawi gembira setelah melihat anak-anak buahnya melangkah ke pusingan akhir berkata inilah peluang terbaik bagi pesilat Sarawak meraih emas dalam acara masingmasing.

“Saya yakin pesilat kita mampu meraih emas dari salah satu kategori tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, beliau agak kecewa beberapa pesilatnya seperti Wan Abdul Hamid Wan Harul, Mohd Hazraai Baharuddin, Mohd Safwan Abdul Nasir (Regu Putera) selain Vanessa Sylvia Kenawang (Tunggal Puteri) kandas pada pusingan awal.

Sementara itu, Sarawak gagal memanfaatkan peluang melangkah awal ke pusingan suku akhir acara bola sepak apabila dikejutkan Sabah 0-1 pada perlawanan kedua Kumpulan A di Padang Rani, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, di sini semalam.

Gol Sabah dijaringkan oleh Maxsius Musa pada minit ke-87 untuk menghidupkan peluang mereka mara ke peringkat seterusnya. Sarawak mengasak kubu Sabah sebaik perlawanan bermula namun sering dikecewakan oleh barisan pertahanan lawan yang bertindak cemerlang.

Pada separuh masa kedua, Sarawak menggandakan asakan dan memiliki deretan peluang keemasan yang gagal disudahkan dengan kemas oleh barisan penyerang. Tatkala permainan hampir berkesudahan seri tanpa jaringan, muncul Maxsius meranapkan impian Sarawak untuk meraih satu mata.

Beliau mudah menolak bola ke gawang Sarawak setelah penjaga gol Florian Rison Laes gagal mengeluarkan dengan kemas ledakan dari jauh penyerang Sabah. Ketua Jurulatihnya, Johnny Dominicus tetap memuji persembahan anak-anak buahnya sekalipun tewas mengejut.

“Kita bermain dengan baik dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk mencipta jaringan namun tidak bernasib baik. “Saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain kerana kita telah menunjukkan permainan yang menarik,” katanya di sini semalam.

Menurut Johnny, beliau yakin anak-anak buahnya masih berpeluang mara ke suku akhir namun perlu menewaskan tuan rumah Perlis esok.

 Sarawak masih menduduki tangga kedua dengan tiga mata di belakang Perlis yang selesa dengan enam mata setelah menewaskan Pahang 2-0.

No comments:

Post a Comment