KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts memuji semangat
kental dipamerkan anak-anak buahnya sehingga berjaya menyingkirkan
Selangor pada perlawanan pusingan kedua Piala FA kelmarin.
Ujarnya,
pemain wajar mendapat kredit setelah berjaya menahan tekanan dari
pasukan lawan meskipun bermain dengan 10 pemain ditambah dengan keadaan
cuaca yang panas terik di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya
(MBPJ).
“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini dan syabas kepada pemain kerana menampilkan semangat juang yang cukup tinggi.
“Mereka
mengikut apa yang telah dirancangkan dan ia menjadi kunci kejayaan
kita pada perlawanan tersebut,” jelas Alberts sambil mengakui nasib
sedikit memihak pasukannya kelmarin.
Pada perlawanan kelmarin, Sarawak mengejutkan Selangor 1-0 menerusi jaringan Zamri Morshidi pada minit ke-32.
Pemain
sayap itu meluru masuk untuk menanduk kencang bola hantaran jauh
kapten pasukan Ronny Harun setelah gagal disambar Alireza Abbasfard dan
Junior Eldstal.
Sarawak bagaimanapun dikejutkan dengan layangan
kad merah terhadap penjaga gol Sani Anuar Kamsani setelah mengasari
Fittri Syazwan Raduwan pada minit ke-62.
Beraksi dengan 10 pemain
memaksa Sarawak lebih banyak bertahan dari asakan bertubi rangkaian
penyerang Selangor yang diketuai Paulo Rangel, Juninho dan Fittri.
Namun,
barisan pertahanan Sarawak yang diketuai Ronny, Gabor Gyepes, Hairol
Mokhtar dan Rames Lai bertindak cemerlang memastikan gawang mereka tidak
dibolosi hingga tamat masa perlawanan.
Sarawak akan menentang KL Felda United pada saingan suku akhir pertama Selasa depan (11 Februari).
Manakala suku akhir kedua akan diadakan pada 18 Februari di Stadium Negeri, Kuching.
No comments:
Post a Comment