KUCHING: Kejayaan menyingkirkan Selangor pada perlawanan Piala FA Selasa lepas menjadi tonik buat pasukan Sarawak untuk melakar satu lagi kejutan dalam kempen Liga Super 2014 menentang Selangor PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada malam ini.
Pengendalinya
Robert Alberts berkata, meskipun kekuatan kedua-dua pasukan dilihat
seimbang, beliau tidak menolak peluang Sarawak untuk membawa pulang
tiga mata penuh.
“Pemain sedang berada dalam prestasi terbaik
ketika ini dan ia petanda baik untuk kita mencatat satu lagi kemenangan
penting,” katanya semalam.
“Saya yakin pemain sudah mampu menyerap
tekanan demi tekanan ketika bermain di gelanggang lawan dan ini
dibuktikan dengan kejayaan kita menewaskan Selangor meskipun bermain
dengan hanya 10 orang pemain.”
Mengulas mengenai percaturannya
pada malam ini, Albert berkata ia hanya akan diputuskan selepas selesai
sesi latihan petang ini (semalam).
“Kita masih menilai tahap kecergasan beberapa tonggak utama termasuk kapten Joseph Kalang Tie dan Milorad Janjus.
“Saya harap kedua-dua pemain ini dapat diturunkan untuk memantapkan barisan serangan,” katanya.
Menurut
Alberts, pemain tengah Junior Eldstal juga menerima rawatan namun
keadaannya tidak begitu serius dan dijangka dapat diturunkan.
Jurulatih
dari Belanda itu turut menagih sentuhan cemerlang Zamri Morshidi dan
Rashid Aya diteruskan agar dapat membantu pasukan maraih tiga mata
penuh.
“Kedua-dua pemain ini telah mempamerkan permainan yang
cukup cemerlang pada Selasa lepas dan saya harap mereka akan meneruskan
prestasi tersebut malam ini.”
Alberts bagaimanapun meramalkan anak-anak buahnya bakal berdepan halangan sukar pada pertembungan itu nanti.
Ujarnya,
Selangor PKNS mempunyai barisan pemain yang berkebolehan lebih-lebih
lagi dua penyerang import mereka Karlo Primorac dan Patrick Ronaldinho.
“Kedua-dua
pemain itu berjaya menjaringkan gol pada perlawanan Piala FA Selasa
lepas. Ia pastinya menyemarakkan lagi semangat mereka untuk membantu
pasukan mencatat kemenangan.”
Selangor PKNS juga mempunyai rekod cemerlang dalam dua perlawanan sebelum ini dengan menundukkan ATM dan Kelantan.
“Apa
pun, barisan pemain telah bersedia sepenuhnya baik dari segi mental
mahupun fizikal. Saya yakin, kemenangan akan berpihak kepada kita jika
pemain mengekalkan corak permainan seperti sebelum ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment