Friday, February 14, 2014

Ngap Sayot Kejutkan Pelajar SMK Demak Baru

KEJUTAN buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru, Jalan Demak, Kuching pada hari kokurikulum semalam apabila menerima kunjungan pemain skuad Ngap Sayot. Majlis ringkas yang bermula pukul 3.00 petang dan berakhir sejam sesudah itu diselit dengan pelbagai program sampingan.

Antaranya pengenalan para pemain, sesi tandatangan pemain kepada pelajar terpilih selain kuiz menguji keupayaan pelajar mengenal pasti pemain dalam pelbagai sudut. Ratusan pelajar sekolah terbabit tidak senang duduk ketika diuji kerana ia merupakan peluang terbaik buat mereka untuk mengenali pemain Sarawak secara lebih dekat.

Pengetua SMK Demak Baru, Puan Fatimah Hamid dalam ucapan ringkasnya melahirkan rasa terharu atas inisiatif pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang hadir bersama para pemain. Menurut Fatimah, program tersebut memang tidak dirancang dan dilaksanakan secara spontan sebagai kejutan buat pelajar sekolah terbabit.

"Program ini memang tidak dirancang, ini adalah sebagai kejutan buat pelajar selain memberi peluang kepada mereka untuk melihat secara dekat para pemain dalam pasukan Sarawak," katanya. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Abdillah Adam, Pengarah Urusan, Lea Group Of Company, Ramond Sim Hee Pang dan ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

No comments:

Post a Comment