KUCHING: Hasrat Sarawak untuk memastikan bekalan selesa di laman
sendiri tidak kesampaian apabila sekadar seri tanpa jaringan pada
perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang Felda United di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang kelmarin.
Turun tanpa khidmat Gabor
Gyepes dan Junior Eldstal yang digantung satu perlawanan jelas
merencatkan corak permainan pasukan pelawat.
Gandingan Milorad
Janjus dan Joseph Kalang Tie di barisan depan juga tidak begitu menjadi
dan banyak mensia-siakan peluang terbaik.
Kesempatan itu disambar Felda United menerusi gandingan penyerang mereka Indra Putra Mahayuddin dan Edward Junior Wilson.
Sarawak cemas seketika apabila sepakan percuma Indra Putra pada minit ke-17 menggegar palang gol.
Pada
minit ke-35, Sarawak hampir menjaringkan gol pendahuluan namun sepakan
cantik Milorad berjaya ditepis penjaga gol lawan Mohd Farizal Harun.
Perlawanan di babak kedua tidak banyak berubah dengan kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan pendahuluan.
Strategi
Sarawak memasukkan Alireza Abbasfard dan Zamri Morshidi juga gagal
membantu dan keputusan tersebut kekal hingga tamat masa perlawanan.
Meskipun
sekadar seri, ia tidak menghampakan Ketua Jurulatih Robert Alberts
sambil menyifatkan aksi anak-anak buahnya selama 10 hari di Lembah
Kelang sangat cemerlang.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi
pemain kerana berjaya mencatat dua kemenangan dan sekali seri dalam
tiga perlawanan di sini.
“Lebih membanggakan, kita berjaya
mengekalkan rekod tanpa bolos dalam semua perlawanan tersebut,” katanya
semasa dihubungi semalam.
Menurut Alberts, beliau sedar bukan
mudah untuk mencapai keputusan tersebut di gelanggang lawan jika pemain
tidak menunjukkan komitmen serta semangat yang tinggi.
“Mereka
wajar diberikan kredit setelah menunjukkan permainan yang baik meskipun
jelas keletihan dan tanpa beberapa pemain utama.”
Menurut Alberts
lagi, peluang Sarawak untuk ke separuh akhir Piala FA adalah cerah namun
mereka perlu mencatat kemenangan pada suku akhir kedua di Kuching
nanti.
“Sarawak mempunyai kelebihan kerana rekod pertemuan di
Stadium Negeri sentiasa menyebelahi kita. Saya harap pemain tidak akan
mensia-siakan peluang itu nanti,” ujarnya lagi.
Pertemuan suku akhir kedua akan berlangsung pada 18 Februari (Selasa depan) di Stadium Negeri.
Sebelumnya, mereka akan melayan kunjungan Perak dalam aksi Liga Super pada 15 Februari di Stadium Negeri.
No comments:
Post a Comment