Alberts berharap anak-anak buahnya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri
KUCHING:
Biarpun beraksi di gelanggang keramat, Stadium Negeri Kuching, Sarawak
tidak memandang rendah kemampuan Felda United dalam saingan suku akhir
kedua Piala FA 2014 di sini malam ini.
Suku akhir pertama yang
berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu lalu
menyaksikan kedua- dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Dalam
perlawanan penting itu, skuad kendalian Robert Alberts beraksi tanpa
Junior Eldstal yang digantung selepas menerima kad merah ketika aksi
menentang Perak dalam saingan Liga Super malam Sabtu lalu.
Bagaimanapun,
pertahanan kental Ronny Harun yang direhat dalam perlawanan sebelum ini
akan diturunkan untuk mengemudi jentera pertahanan bersama Gabor
Gyepes, Mohd Hairol Mokhtar dan Ramesh Lai.
Alberts ketika
dihubungi semalam berkata, Felda United merupakan pasukan yang mantap
kali ini kerana diperkuatkan beberapa pemain berpengalaman.
Antara pemain berpengalaman yang beraksi bersama Felda United termasuk Mohd Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin.
“Kita
tidak memandang rendah kemampuan pasukan ini (Felda United) kerana
mereka mempunyai beberapa pemain berpengalaman,” katanya.
Sehubungan
itu, beliau mahu anak-anak buahnya yang diketuai Joseph Kalang Tie
memperagakan aksi mantap untuk memastikan Sarawak layak ke pusingan
separuh akhir.
“Kita masih ada peluang untuk layak ke separuh
akhir. Saya berharap pemain dapat memanfaatkan peluang beraksi di
gelanggang sendiri,” katanya.
Menurutnya, pasukan Sarawak akan
menampilkan permainan menyerang dari awal perlawanan untuk memastikan
banyak jaringan mampu dihasilkan.
“Saya yakin setiap pemain akan bermain habis-habisan untuk memastikan kita menang dalam perlawanan ini,” kata Alberts.
Pemenang
antara Sarawak dan Felda United akan bertemu sama ada Kelantan atau
Selangor PKNS di peringkat separuh akhir yang berlangsung pada 6 Mei
(separuh akhir pertama) dan 20 Mei (separuh akhir kedua).
Aksi Sarawak seterusnya dalam Liga Super akan menentang T-Team di gelanggang lawan (Stadium Sultan Ismail) pada 8 Mac.
No comments:
Post a Comment