Friday, February 28, 2014

Bekas Pemain Manchester United Quinton Fortune Ingin Sertai Sarawak

Bekas pemain tengah United itu diterbangkan khas untuk kendali klinik bola sepak

KUCHING: Bekas pemain tengah Manchester United Quinton Fortune tidak me­nolak kemungkinan akan menyertai Sarawak jika diberi peluang oleh skuad tersebut.

Beliau yang diterbangkan khas oleh Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) ke sini bagi mengadakan klinik bola sepak bertempat di Padang Jubilee semalam berkata ia satu penghormatan buat dir­inya jika dapat beraksi dalam Liga Malaysia.

“Sudah tentu saya mahu menyertai pasukan Sarawak jika diberi peluang,” menurut pemain berusia 36 tahun dari Afrika Selatan itu.

Fortune yang menyertai Manchester United pada 1999-2006 turut merakamkan terima kasih kepada Mamee dan YR1M di atas kesudian menjemput beliau untuk mengadakan klinik di sini.

Katanya, Sarawak mem­punyai ramai pemain bola sepak yang berbakat dan berpotensi untuk pergi den­gan lebih jauh.

“Saya harap, klinik ringkas ini sedikit sebanyak dapat memberi mereka inpirasi serta motivasi untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya di masa akan datang.

“Cuma saya harap pemain terus fokus dan komited dalam latihan jika mahu terus berkembang dalam sukan bola sepak. Paling penting, pemain harus berusaha memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kemahiran dari masa ke se­masa,” katanya.

Menurutnya, fokus uta­manya kini adalah untuk mendapatkan lesen kejuru­latihan bagi membolehkannya menjadi jurulatih sepenuh masa.

Seramai 60 pemain bola sepak remaja berusia dalam lingkungan 16-19 tahun menyertai klinik selama sehari anjuran YR1M semalam.

Pemain yang turut serta dipilih dari empat kelab bola sepak tempatan iaitu First Touch Soccer Development (FTSD), Kelab Bola Sepak Kickalob, Kelab Bola Sepak Bintang dan Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya.

Klinik tersebut diken­dalikan oleh empat jurulatih FTSD termasuk Fortune sendiri.Meskipun ringkas, pemain berpeluang mempelajari ban­yak teknik serta tips berguna dari Fortune.Fortune akan berlepas ke Kuala Lumpur hari ini di mana beliau turut men­gadakan klinik sama di sana.

Selain, beliau juga akan menyertai bekas pemain ke­bangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Mymanutd FC pada 2 Mac depan.

Hadir sama ADUN Semop Abdullah Saidol, ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam, Ahli Majlis Penasi­hat YR1M Sarawak Irwan Zulkarnain Hasbie dan Ketua Pemuda Pergerakan PemudaPBB Satok Iskandar Sharkawi.

Salibasic Mungkin Disingkir?

Jurulatih Sarawak, Robert Alberts memberikan tempoh dua minggu lagi kepada Salibasic untuk mula berlatih atau berdepan penyingkiran. Ini kerana Sarawak sekarang ini terdesak untuk mendapatkan penyerang import asing hebat. 

Lagi pula, dua lagi import luar negara iaitu Milorad Janjus dan Alireza gagal menunjukkan persembahan yang diharap-harapkan. Kualiti mereka hanya bertaraf biasa-biasa sahaja. Malah Alireza gagal menunjukkan kualiti penyerang import. 

"Saya memberikan tempoh dua minggu untuk Salibasic menjalani latihan, jika tidak kami harus mencari alternatif yang lain," kata Alberts.

"Dalam kes Alireza yang jelas tidak mampu memberikan sumbangan kepada pasukan, maka kami bersetuju untuk mencari pengganti," jelasnya.

Selain itu, Alberts turut ’pening kepala’ memikirkan seorang lagi pemain import iaitu Milorad Janjus. 
"Janjus telah pun menjaringkan tiga gol, namun kami tidak rela mempunyai pemain import yang berwatak ’penumpang’. Ini kerana kami memerlukan tiga pemain import asing yang boleh membantu pasukan," kata Alberts. 

"Pemain import asing merupakan pemain penting yang boleh memberikan sumbangan besar kepada pasukan dan untuk kepentingan pasukan saya mungkin akan menukar Salibasic jika dia tidak sembuh pada masa yang telah ditetapkan," tegas Alberts. 

"Kami mempunyai enam perlawanan yang sukar dan tidak tewas. Ia memberi gambaran kekuatan pasukan," jelasnya.

"Namun kami merupakan kelab yang profesional dan kami perlu lebih profesional apabila ia mengenai perpindahan pemain," ujar Alberts.

Salibasic hanya sempat bermain selama 18 minit ketika menentang ATM dalam aksi pembukaan Liga Super 2014 sebelum ditimpa kecederaan serius yang mengambil masa yang agak lama untuk sembuh.
Sarawak kini berada di tangga ketiga carta Liga Super setelah melalui lima perlawanan. 

Sarawak akan menentang skuad T-Team pimpinan Azrai Khor Abdullah pada Sabtu depan (8 Mac) dan akan menentang Lions XII di Kuching pada 15 Mac (Sabtu).

Thursday, February 27, 2014

S’wak Belum Buang Alireza

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan penyerang import asing dari Iran, Alireza Abbasfard, 32, yang dikatakan telah diketepikan.
Sebaliknya FAS masih dalam proses meneliti semula prestasinya dan memberi peluang kepada beliau untuk memperbaiki mutu permainan.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan mengenai Alireza. Namun apa yang pasti belum ada kata putus untuk menamatkan kontraknya,” jelas Sudarsono.

Alireza sekarang ini menjalani latihan seperti biasa bersamka Sarawak yang bermula Isnin lalu.
Menurut Sudarsono, keputusan menyingkirkan pemain hanya akan dilakukan sekiranya terus gagal menunjukkan prestasi yang diharap-harapkan.

Alireza hanya menjaringkan satu gol dalam Sembilan perlawanan yang telah dilalui Sarawak sekarang ini. Malah beliau juga gagal menunjukkan mutu permainan yang baik dan menjadi bahan kecaman para penyokong di Kuching.

Menurut Sudarsono proses mengambil pemain baharu bukannya mudah apatah lagi jika seseorang pemain itu berstatus sebagai pemain asing.

“Mengambil pemain asing baharu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin,” jelasnya.
Jendela perpindahan pemain baharu akan dibuka pada 22 Mac nanti. Sebelum ini, Sarawak dikatakan beria-ia untuk mengambil penyerang import baharu dari Australia iaitu Ryan Griffiths untuk menggantikan tempat Alireza.

Malah jurulatih Sarawak, Ro- bert Alberts berharap sangat agar bekas penyerang kebangsaan Australia itu akan menerajui jentera serangan Sarawak pada penghujung Mac nanti.

Alberts mengakui, kegagalan Sarawak ke separuh akhir Piala FA 2014 adalah berpunca daripada penyerang import yang kurang berkualiti sambil merujuk kepada Alireza.

Malah rakan gandingan Alireza iaitu Milorad Janjus juga dilihat sebagai penyerang import yang belum mencapai tahap memuaskan. Namun penyerang dari Serbia itu telah pun menyumbat empat gol setakat ini.

Sementara itu, skuad Sarawak mula menyambung latihan Isnin lalu. Menurut Alberts tiada perancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Sebaliknya Alberts hanya akan mengadakan perlawanan sesame sendiri petang Sabtu ini untuk menilai prestasi semasa pemain.

Sarawak akan menentang T-Team di gelanggang lawan pada 8 Mac nanti (Sabtu) dan akan menentang Lions XII pada 15 Mac di Kuching (Sabtu).

Wednesday, February 26, 2014

"BENTENG JADI AZIMAT"-RA

Assalamualaikum wbt...

Salam Tigabelas untuk semua warga Sang Bujang Bedal.... Kabar kitak orang tek? 

Admin ritok b4 beberapa ari tok bizi gilak. Sia sitok ngeja masa. Baby Admin masuk hospital. Ya nyuruh admin gago gilak sampey blog SFS tok sik diupdated Admin. Sori banyak2...

Pa cita kitak orang tek? Dah berapa status Admin ketinggalan huhhhhh...

Oklah...

Balit kita cita asal pasal "Benteng Jadi Azimat" katanya.. Mena kata RA ya.. Admin sokong 200%.
Coba kitak orang semua perati benar2, dalam beberapa game berapa bolos,berapa score? Bolos pun berapa igek jak.. Rasa2 Admin Bolos ngak 3 gol mun sik silap Admin lah...

Bak kata RA “Barisan pertahanan yang baik memainkan peranan yang penting untuk mencapai kejayaan,"."Saya akui benteng Sarawak sekarang ini telah pun menunjukkan prestasi yang cukup hebat," 
 
Skuad Sarawak akan melawan T-Team dalam aksi Liga Super 2014 pada 8 Mac (Sabtu) dan akan menentang Lions XII di Kuching pada 15 Mac. Sarawak kinek tok berada di tanggak KETIGA carta Liga Super 2014.

Pa yang patut kita polah kinek tok sebagai Penyokong Bolasepak Sarawak ialah...

MENDOAKAN SARAWAK MELAKARKAN KEMENANGAN SETIAP KALI SIDAK BERJUANG!!! 

Betoi sik..?

Oklah.. setakat tok jaklah coretan Admin k.. Assalammmm!!!

Friday, February 21, 2014

Alberts Buru Penyerang Adelaide


 Robert Albert

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts dilaporkan kembali menaruh minat terhadap penyerang kebangsaan Australia Ryan Alan Griffiths.

Menurut Robert, beliau bersedia membawa penyerang Adelaide United FC itu menyertai Sarawak dalam tempoh terdekat bagi memantapkan lagi jentera serangan skuad.

Hasrat itu diluahkannya selepas kecewa dengan aksi penyerang import Alireza Abbasfard pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA kelmarin yang menyaksikan Sarawak tersingkir dari saingan setelah terikat 2-2 dengan Felda United.

Menurut Robert, penyerang kelahiran Iran itu gagal mempamerkan kualiti yang diperlukan untuk membantu Sarawak setakat ini.

“Kita telah memberi beliau peluang namun beliau masih gagal mempamerkan kualiti yang diharapkan,” katanya ketika ditemuramah kelmarin.

Taktik Alberts Jadi Persoalan

Impian Sarawak mara ke peringkat separuh akhir Piala FA musnah hasil ketajaman Zah


KUCHING: Dua jaringan penyerang import Felda United, Zah Rahan Krangar melenyapkan impian Sarawak untuk mara ke separuh akhir Piala FA 2014 setelah kedua-dua pasukan seri 2-2 pada perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Negeri kelmarin.

Beraksi di laman sendiri tidak memberi banyak kelebihan buat Ngap Sayot apabila mereka turun tanpa penyerang utama Milorad Janjus, Junior Eldstal dan Zamri Morshidi.

Tuan rumah bagaimanapun berjaya mendahului menerusi jaringan kapten pasukan Joseph Kalang Tie pada minit ke-17.

Pemain itu mudah menolak bola masuk setelah menerima lorongan cantik dari Ronny Harun untuk menewaskan Mohd Farizal Harun.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Felda United mula memperkemaskan permainan dan melancar beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Sarawak.

Usaha mereka berhasil apabila Zah yang tidak dikawal dalam petak penalti merembat kencang untuk menewaskan Sani Anuar Kamsani pada minit ke-36 setelah menerima hantaran dari Thanaraj Kumarasamy.

Saingan di babak kedua semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling serang-menyerang untuk mencari jaringan tambahan.

Pada minit ke-76, Gabor Gyepes hampir meletakkan Sarawak di hadapan namun sepakan percumanya berjaya ditepis keluar Farizal.

Sarawak sekali lagi membimbing perlawanan setelah bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang masuk menggantikan Alireza Abbasfard berjaya merembat masuk bola hantaran silang Joseph pada minit ke-80.

Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun hanya bertahan selama tiga minit apabila Zah muncul pemusnah dengan jaringan keduanya menerusi sepakan percuma pada minit ke-83.

Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan dan Felda United mara ke separuh akhir berdasarkan peraturan jaringan gol di tempat lawan.

Ketua Jurulatih Robert Alberts berkata, faktor keletihan berpunca dari jadual perlawanan yang ketat menjadi penyebab utama pemainnya hilang fokus pada perlawanan tersebut.

Beliau turut kecewa dengan barisan serangannya yang tumpul dan banyak mensia-siakan peluang yang tercipta.

Katanya, ketiadaan beberapa pemain utama turut menyumbang kepada kegagalan pasukannya kelmarin.

“Pemain telah memberikan yang terbaik dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kemenangan milik Sarawak,” katanya kelmarin.

“Namun nasib tidak menyebelahi Sarawak dan kita akur dengan keputusan ini.”

Wednesday, February 19, 2014

Ngap Sayot Lepaskan Peluang Tiket Ke Separuh Akhir

PIALA FA 2014

SARAWAK gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila tersingkir daripada saingan Piala FA setelah terikat 2-2 ketika menentang Felda United dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching malam tadi yang disaksikan sekitar 20,000 penonton.

Secara agregat kedua-duanya terikat 2-2, namun Sarawak ter- singkir atas kelebihan gol di tempat lawan yang memihak pasukan Felda. Kedua-duanya terikat 0-0 di Selayang dalam aksi pertama.

Zar Rahan Krangar menjadi pemusnah Sarawak apabila menjaringkan kedua-dua gol Felda walaupun ketinggalan dua kali melalui jaringan Joseph Kallang Tie dan Akmal Rizal Rakhli.

“Sudah pasti ia merupakan sesuatu yang mengecewakan ketika kemenangan hampir berada dalam genggaman,” kata jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

“Sekiranya beberapa peluang dapat dimanfaatkan tiket separuh akhir pasti menjadi milik kita,” ujarnya.

“Walau apa pun, para pemain telah pun melakukan segala-galanya, dan nasib tidak memihak kepada kita,” kata Alberts. 

Sarawak bermula dengan baik apabila mendahului pada minit ke-17 melalui Joseph Kallang Tie yang menolak mudah hantaran Ronny Harun. 

Bagaimanapun, pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil rembatan kencang Zar Rahan Krangar.

Bagaimanapun, Sarawak kembali di depan pada minit ke-80 melalui pemain gantian, Akmal Rizal Rakhli yang menolak masuk sepakan sudut Joseph Kallang Tie. 

Namun, Felda sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit kie-82 menerusi Zar Rahan Krangar. Sarawak berusaha untuk mencari gol kemenangan,  namun terpaksa akur.

Dengan kegagalan tersebut, maka Sarawak terus kempunan untuk mara lebih jauh dalam kempen Piala FA. Musim lalu Sarawak turut tersingkir di peringkat ini.

Sarawak pernah menjuarai Piala FA pada 1992 setelah mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di Kuching. Sarawak juga pernah ke final pada 1996 tetapi kalah kepada Kedah 1-0 dan tewas 1-0 kepada Selangor dalam aksi final 2000. Sarawak juga pernah ke separuh akhir pada 1998, tewas kepada Selangor 3-1 di Kuching walaupun menang 1-0 di gelanggang lawan.

Skuad Sarawak akan berehat selama lima hari dan hanya akan menyambung semula latihan pada Isnin depan.

Tuesday, February 18, 2014

Felda United Bakal Tersungkur



Alberts berharap anak-anak buahnya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri

KUCHING: Biarpun beraksi di gelanggang keramat, Stadium Negeri Kuching, Sarawak tidak memandang rendah kemampuan Felda United dalam saingan suku akhir kedua Piala FA 2014 di sini malam ini.

Suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu lalu menyaksikan kedua- dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Dalam perlawanan penting itu, skuad kendalian Robert Alberts beraksi tanpa Junior Eldstal yang digantung selepas menerima kad merah ketika aksi menentang Perak dalam saingan Liga Super malam Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pertahanan kental Ronny Harun yang direhat dalam perlawanan sebelum ini akan diturunkan untuk mengemudi jentera pertahanan bersama Gabor Gyepes, Mohd Hairol Mokhtar dan Ramesh Lai.

Alberts ketika dihubungi semalam berkata, Felda United merupakan pasukan yang mantap kali ini kerana diperkuatkan beberapa pemain berpengalaman.

Antara pemain berpengalaman yang beraksi bersama Felda United termasuk Mohd Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin.

“Kita tidak memandang rendah kemampuan pasukan ini (Felda United) kerana mereka mempunyai beberapa pemain berpengalaman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu anak-anak buahnya yang diketuai Joseph Kalang Tie memperagakan aksi mantap untuk memastikan Sarawak layak ke pusingan separuh akhir.

“Kita masih ada peluang untuk layak ke separuh akhir. Saya berharap pemain dapat memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.

Menurutnya, pasukan Sarawak akan menampilkan permainan menyerang dari awal perlawanan untuk memastikan banyak jaringan mampu dihasilkan.

“Saya yakin setiap pemain akan bermain habis-habisan untuk memastikan kita menang dalam perlawanan ini,” kata Alberts.

Pemenang antara Sarawak dan Felda United akan bertemu sama ada Kelantan atau Selangor PKNS di peringkat separuh akhir yang berlangsung pada 6 Mei (separuh akhir pertama) dan 20 Mei (separuh akhir kedua).

Aksi Sarawak seterusnya dalam Liga Super akan menentang T-Team di gelanggang lawan (Stadium Sultan Ismail) pada 8 Mac.

Monday, February 17, 2014

Pengadil Biadap!!! Sarawak Cadang Kemuka Aduan Kepada FAM

KUCHING: Sarawak berca­dang mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung tindakan biadap pengadil, Su­kri Abdul Rahman terhadap pemain Sarawak, Joseph Kalang Tie semasa perlawanan Liga Super menentang Perak di sini malam kelmarin.

Menurut Ketua Jurulatih Robert Alberts, kapten pasu­kan Sarawak itu mengadu ke­padanya bahawa beliau (Joseph) dicaci oleh Sukri dengan meng­gunakan kata-kata kesat ketika cuba membuat bantahan ber­hubung beberapa keputusan pengadil itu.

“Kita akan mengemukakan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) kerana pemain telah datang membuat aduan kepada saya,” katanya sini kelmarin.

“Joseph sendiri perlu mem­buat aduan kepada presiden dan setiausaha agung FAS. Selepas itu terpulang kepada pihak per­satuan sama ada mahu membuat aduan rasmi kepada pihak FAM ataupun tidak,” ujarnya.

Bagaimanapun, Alberts ber­kata pihaknya akan membuat siasatan terperinci terlebih dahulu sebelum mengambil langkah susulan berhubung insiden tersebut.

Sukri turut mencetus kon­troversi setelah beberapa kepu­tusannya dalam perlawanan malam kelmarin (Sabtu) jelas terlalu memihak kepada pasu­kan lawan.

Bagaimanapun, Sarawak berjaya meraih tiga mata penuh setelah berjaya menundukkan Perak 1-0 menerusi jaringan Milorad Janjus.

Felda United Yakin Tumbangkan Sarawak di Kuching

BINTANG tengah pasukan Felda United FC, Shahrulnizam Mustapa optimis kemampuan pasukan berkenaan untuk melakar kemenangan ke atas Sarawak pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri, Kuching, Selasa nanti.

Bekas kapten pasukan Perak itu mengakui skuad yang terkenal dengan gelaran ’Nyap Sayot’ itu memiliki peluang cerah untuk menempah slot ke separuh akhir berdasarkan rekod cemerlang pasukan itu menghadapi pasukan lawan ketika beraksi di halaman sendiri.

"Saya dan rakan-rakan akan cuba melakukan yang terbaik pada Selasa ini memandangkan pasu-kan Felda United semakin kuat hasil persefahaman dan hubungan erat sebagai sebuah keluarga yang wujud dalam pasukan ini," katanya kepada Bernama. Beliau ditemui selepas menghadiri Kejohanan Futsal PUMA Evo Power di Futsal Sports Planet Subang Grand, semalam. Untuk rekod, kedua-dua pa-sukan terikat seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lepas.

Dalam pada itu, Shahrulnizam memuji corak taktikal yang digunakan jurulatih skuad Felda United FC, Irfan Bakti Abu Salim yang memberikan peluang kepada muka-muka baharu dalam beberapa perlawanan Liga Perdana. Katanya, usaha itu penting bagi memastikan para pemain skuad ’The Settlers’ kekal cergas bagi menghadapi jadual saingan Liga Malaysia yang padat, musim ini. "Dengan perubahan itu, semua pemain dapat beraksi dalam kesebelasan utama selain memastikan kita tidak kepenatan dalam menghadapi jadual Liga Malaysia pada musim ini," kata pemain berusia 32 tahun yang berasal dari Ipoh.

Beliau turut meminta rakan sepasukan untuk meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Liga Perdana musim ini, sekali gus mencerahkan peluang mereka beraksi dalam Liga Super pada 2015. "Saya harap kejayaan mengalahkan SPA Putrajaya FC (4-0) di Stadium Hang Jebat (Melaka), semalam mampu dijadikan ransangan oleh para pemain untuk terus meraih kemenangan dalam perlawanan selepas ini.- Bernama

Janjus Hero Ngap Sayot

PENYERANG import dari Serbia, Milorad Janjus muncul hero skuad Ngap Sayot apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk membenam skuad Seladang, Perak dalam aksi Liga Super 2014 di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching malam tadi yang disaksikan 20,000 penonton. Janjus melakukan jaringan melalui sepakan bebas cantik dari luar petak penalti yang betul-betul menuju ke bucu kanan gawang Perak sekali gus menggegar jaring (minit ketujuh).

Ia merupakan gol ketiga Janjus dalam kempen Liga Super setakat ini. Walaupun bermain dengan 10 orang pada minit ke-69 setelah Junior Eldstal diperintah keluar padang (kad kuning kedua) ekoran menyepak bola selepas tiupan wisel. Dengan kemenangan itu, maka Sarawak kini naik di tangga keempat, di belakang Terengganu. Ini kerana dua pasukan atasan Selangor dan ATM masing-masing kalah. ATM tewas 2-1 kepada Lions XII, manakala Selangor dibelasah 4-1 oleh JDT 1. Bagi jurulatih Sarawak, Robert Alberts, kemenangan tersebut cukup bermakna kerana memberikan tiga mata yang berharga, sekali gus memperbaiki kedudukan.

“Seperti yang saya jangkakan, ia merupakan satu perlawanan yang sukar. Perak beraksi dengan corak pantas dan aksi fizikal,” kata Alberts. “Dalam keadaan seperti ini, pengadil perlawanan sepatutnya melindungi pemain,” jelas Alberts. Menurut Alberts, walaupun turun tanpa dua pemain utama Muamer Salibasic dan Shahrol Saperi dalam kebanyakan aksi, namun ia tidak mengganggu rentak Sarawak untuk mengukir kemenangan. Sementara itu, jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzil menyatakan anak-anak buahnya bermain baik, namun gagal memanfaatkan peluang.

“Kami mencipta beberapa peluang, tetapi para pemain tidak menggunakan peluang tersebut dengan baik,” katanya. Perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan. Bagi Sarawak, kemenangan tersebut bukan sahaja memberikan mata bermakna dalam Liga Super, tetapi juga memberikan semangat tambahan untuk aksi suku akhir kedua Piala FA di Kuching Selasa nanti, menentang Felda United. Kedua-duanya terikat 0-0 dalam perlawanan suku akhir pertama. Sarawak berpeluang untuk menempah tiket ke separuh akhir kerana hanya memerlukan kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Friday, February 14, 2014

Ngap Sayot Kejutkan Pelajar SMK Demak Baru

KEJUTAN buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru, Jalan Demak, Kuching pada hari kokurikulum semalam apabila menerima kunjungan pemain skuad Ngap Sayot. Majlis ringkas yang bermula pukul 3.00 petang dan berakhir sejam sesudah itu diselit dengan pelbagai program sampingan.

Antaranya pengenalan para pemain, sesi tandatangan pemain kepada pelajar terpilih selain kuiz menguji keupayaan pelajar mengenal pasti pemain dalam pelbagai sudut. Ratusan pelajar sekolah terbabit tidak senang duduk ketika diuji kerana ia merupakan peluang terbaik buat mereka untuk mengenali pemain Sarawak secara lebih dekat.

Pengetua SMK Demak Baru, Puan Fatimah Hamid dalam ucapan ringkasnya melahirkan rasa terharu atas inisiatif pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang hadir bersama para pemain. Menurut Fatimah, program tersebut memang tidak dirancang dan dilaksanakan secara spontan sebagai kejutan buat pelajar sekolah terbabit.

"Program ini memang tidak dirancang, ini adalah sebagai kejutan buat pelajar selain memberi peluang kepada mereka untuk melihat secara dekat para pemain dalam pasukan Sarawak," katanya. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Abdillah Adam, Pengarah Urusan, Lea Group Of Company, Ramond Sim Hee Pang dan ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

Skuad Piala Presiden Atasi Skuad Perlis 3-1

SKUAD Piala Presiden Sarawak melakar kemenangan pertama setelah mengatasi skuad Perlis 3-1 dalam aksi di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching petang semalam. 

Anak jati kelahiran Kampung Telaga Air, Kuching Abdul Razak Abdul Rahim menjaringkan dua gol (minit ke-33 dan 74), manakala satu lagi gol disumbangkan oleh bekas penyerang SEG FC, Nor Azizi Ramlee seawall minit keempat. Sementara gol tunggal pelawat (Perlis) dijaringkan oleh Danial Rusdi minit ke-76 menerusi sepakan penalti.

“Para pemain telah menunjukkan satu kebangkitan hebat yang memberikan tiga mata bermakna kepada kami,” kata jurulatih Sarawak, Johnny Dominicus. Menurut Johnny, pemain telah melaksanakan tugas dengan baik dan mempraktik segala yang diarahkan. 

Sarawak yang menguasai permainan sepatutnya boleh menambahkan jaringan sekiranya beberapa lagi peluang disempurnakan melalui Eugene Thompson Thomas, Shreen Tambi dan Abdul Rahim Abdul Razak. 

Sarawak akan menentang Negeri Sembilan dalam aksi di Paroi Isnin nanti (17 Februari). Dalam tiga perlawanan sebelum ini menyaksikan Sarawak kalah 4-0 kepada Kedah, tumpas 4-1 kepada Kelantan dan tumbang 1-0 kepada Felda United.

Thursday, February 13, 2014

Peluang Sarawak Mara Ke Separuh Akhir Piala FA Cerah

KUCHING: Hasrat Sarawak untuk memastikan bekalan selesa di laman sendiri tidak kesampaian apabila sekadar seri tanpa jaringan pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin.

Turun tanpa khidmat Gabor Gyepes dan Junior Eldstal yang digantung satu perlawanan jelas merencatkan corak permainan pasukan pelawat.

Gandingan Milorad Janjus dan Joseph Kalang Tie di barisan depan juga tidak begitu menjadi dan banyak mensia-siakan peluang terbaik.

Kesempatan itu disambar Felda United menerusi gandingan penyerang mereka Indra Putra Mahayuddin dan Edward Junior Wilson.

Sarawak cemas seketika apabila sepakan percuma Indra Putra pada minit ke-17 menggegar palang gol.

Pada minit ke-35, Sarawak hampir menjaringkan gol pendahuluan namun sepakan cantik Milorad berjaya ditepis penjaga gol lawan Mohd Farizal Harun.

Perlawanan di babak kedua tidak banyak berubah dengan kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan pendahuluan.

Strategi Sarawak memasukkan Alireza Abbasfard dan Zamri Morshidi juga gagal membantu dan keputusan tersebut kekal hingga tamat masa perlawanan.

Meskipun sekadar seri, ia tidak menghampakan Ketua Jurulatih Robert Alberts sambil menyifatkan aksi anak-anak buahnya selama 10 hari di Lembah Kelang sangat cemerlang.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain kerana berjaya mencatat dua kemenangan dan sekali seri dalam tiga perlawanan di sini.

“Lebih membanggakan, kita berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam semua perlawanan tersebut,” katanya semasa dihubungi semalam.

Menurut Alberts, beliau sedar bukan mudah untuk mencapai keputusan tersebut di gelanggang lawan jika pemain tidak menunjukkan komitmen serta semangat yang tinggi.

“Mereka wajar diberikan kredit setelah menunjukkan permainan yang baik meskipun jelas keletihan dan tanpa beberapa pemain utama.”

Menurut Alberts lagi, peluang Sarawak untuk ke separuh akhir Piala FA adalah cerah namun mereka perlu mencatat kemenangan pada suku akhir kedua di Kuching nanti.

“Sarawak mempunyai kelebihan kerana rekod pertemuan di Stadium Negeri sentiasa menyebelahi kita. Saya harap pemain tidak akan mensia-siakan peluang itu nanti,” ujarnya lagi.

Pertemuan suku akhir kedua akan berlangsung pada 18 Februari (Selasa depan) di Stadium Negeri.
Sebelumnya, mereka akan melayan kunjungan Perak dalam aksi Liga Super pada 15 Februari di Stadium Negeri.

Wednesday, February 12, 2014

SARAWAK F.A vs PERAK F.A 15/2, ADAKAH SEJARAH MUNGKIN BERULANG?

Assalamualaikum... semua pembaca SFS sekalian...


Persoalan yang paling utama sekali mok di ajukan Admin ngan kitak orang ialah 'Adakah Sejarah Akan Berulang?' Jawapannya.... SIK MUSTAHIL!!! atau juga MUSTAHIL bagi team kita mengulangi kemenangan yg bergaya ke atas PERAK F.A.

Dalam team kita SARAWAK F.A terutama sekali Ketua Jurulatih Robert Albert, bagi memperolehi kemenangan, R.A coba sedaya upaya untuk membuat rombakan ataupun strategik baharu supaya mana-mana team lawan sik dapat membaca permainan Bujang Senang. Sifat tok yg ada dalam diri Robert Albert yang Admin BANGGA!!!...

Untuk Mencapai Kemenangan ya ataupun maok Sejarah Mungkin Berulang, kita sebagai 'player ke-12' haruslah memberi sokongan yang padu kepada Pasukan Sarawak kita. Jangan pernah mengalah.. 'Agik Idup Agik Ngelaban' kata urang iban...

Untuk semangat ya, ayuh kita sebagai Penyokong Tegar Sarawak, Jom rami-rami kita nyaksi team menbol kita beraksi dipadang yg penuh dengan keramat. Berik Sokongan yang sik berbelah bagi. 

Dah nak dekat game tok 3 Hari gik game Sarawak vs Perak ya, jom beli tiket online pasya claim tiket dimana2 cawangan atau wakil2nya.

Doakan Agar Sarawak team kesayangn kita MENANG. Sik kesah nya mengulangi kemenangan besar dolok, yang penting menang. Mun menang Besar agik bagusss!!! Ayuhhh..

KALAH MENANG SARAWAK TETAP DIHATI

SABERKAS Ikrar Cari ‘Zamri’ Baharu


KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) memperbanyak program pertandingan bola sepak dan futsal dalam usaha mencari ‘Zamri’ baharu.

Setiausaha Agungnya, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata antara langkah itu adalah penganjuran Fiesta Futsal Telaga Air sebagai landasan mengetengahkan bakat-bakat pemain tempatan.

“Pemain Sarawak, Zamri (Morshidi) adalah anak kelahiran Kampung Telaga Air dan penganjuran program ini adalah usaha kita untuk mencari ‘Zamri’ baharu di sini.

“Oleh itu, kita akan memperbanyak prgoram seumpama itu bagi memastikan lebih ramai bakat baharu dalam arena bola sepak dapat dilahirkan,” katanya pada perasmian Fiesta Futsal di Padang Futsal Kampung Telaga Air di sini kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata, program kesukanan yang dianjurkan secara tidak langsung dapat menghindari golongan muda terjerumus dalam aktiviti tidak sihat.

“Inilah hasrat kerajaan bagi memastikan belia masa hadapan yang dilahirkan mempunyai jati diri tinggi sekali gus mengurangkan masalah sosial melibatkan golongan ini,” jelasnya.
Pada majlis itu, Dr Rahman turut menyumbangkan peruntukan sejumlah RM3,000 kepada jawatankuasa Padang Futsal Kampung Telaga Air bagi menaik taraf lampu limpah di padang itu.
“Dengan adanya lampu limpah yang baik nanti, anak-anak muda di sini boleh bermain futsal pada sebelah malam dan ini akan mengelak mereka terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat,” katanya.

Tuesday, February 11, 2014

Sarawak Ubah Strategi.-RA-



Perubahan taktikal elak lawan membaca permainan kita: Alberts

KUCHING: Sarawak bakal menampilkan taktik dan strategi yang berbeza tatkala menentang pasukan berstatus kelab, Felda United pada saingan suku akhir pertama Piala FA 2014 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Ketua jurulatihnya, Robert Alberts berkata pasukannya sentiasa melakukan perubahan taktikal untuk memastikan pihak lawan sukar untuk membaca permainan mereka.

“Kita tidak mahu bermain dengan corak sama sahaja pada setiap perlawanan. Ini kerana kita mahukan kelainan agar lawan sukar membaca permainan kita,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, lawan yang ditentang dalam aksi suku akhir pertama Piala FA malam ini bukan calang-calang pasukan kerana berjaya menyingkirkan Sime Darby FC pada pusingan kedua lalu.

“Biarpun lawan (Felda United) merupakan pasukan Liga Perdana, kita tidak memandang rendah kemampuan mereka,” ujarnya.

Menurut Alberts, magis dan lontaran emas Ronny Harun akan terus menjadi senjata utama dalam memburu jaringan.

“Ronny mempunyai kepakaran dalam lontaran jauh dan ini dibuktikan apabila tiga jaringan kita adalah menerusi bantuan lontaran jauh,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambahnya, pasukan Sarawak tetap akan berusaha gigih menjaringkan gol menerusi permainan padang dan tidak hanya mengharapkan ‘set piece’ semata-mata.

“Ini kerana ada kalanya ‘set piece’ berjaya dan ada kalanya gagal. Jadi, kita akan cuba menjaringkan gol dengan apa cara sekalipun,” kata Alberts.

Menurutnya, tiga pemain yang melibatkan pemain import, Muamer Salibasic termasuk S Chanturu dan Mohd Shahrol Saperi masih tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

Manakala penjaga gol utama, Sani Anuar Kamsani digantung perlawanan selepas menerima kad merah pada pertemuan Piala FA dengan Selangor tempoh hari.

Bagi perlawanan Liga Super seterusnya menyaksikan Sarawak bakal menentang Perak di Stadium Negeri Kuching pada 15 Februari ini.

Sementara perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Felda United pada 18 Februari juga berlangsung di Stadium Negeri Kuching.

Friday, February 7, 2014

NGAP SAYOT YAKIN BAHAM PKNS



KUCHING: Kejayaan menyingkirkan Selangor pada perlawanan Piala FA Selasa lepas menjadi tonik buat pasukan Sarawak untuk melakar satu lagi kejutan dalam kempen Liga Super 2014 me­nentang Selangor PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Se­layang pada malam ini.

Pen­gen­dal­inya Rob­ert Al­berts ber­kata, meskipun kekuatan ked­ua-dua pasukan dilihat seimbang, beliau tidak me­no­lak pe­luang Sarawak untuk mem­bawa pulang tiga mata penuh.

“Pemain se­dang berada dalam prestasi terbaik ketika ini dan ia petanda baik untuk kita mencatat satu lagi kemenangan penting,” katanya semalam.

“Saya yakin pemain sudah mampu menyerap tekanan demi tekanan ketika bermain di gelanggang lawan dan ini dibuktikan dengan kejayaan kita menewaskan Selangor meskipun bermain dengan hanya 10 orang pemain.”

Mengulas mengenai per­caturannya pada malam ini, Albert berkata ia hanya akan diputuskan selepas selesai sesi latihan petang ini (se­malam).

“Kita masih menilai tahap kecergasan beberapa tong­gak utama termasuk kapten Joseph Kalang Tie dan Mi­lorad Janjus.

“Saya harap kedua-dua pemain ini dapat diturunkan untuk memantapkan barisan serangan,” katanya.
Menurut Alberts, pemain tengah Junior Eldstal juga menerima rawatan namun keadaannya tidak begitu serius dan dijangka dapat diturunkan.

Jurulatih dari Belanda itu turut menagih sentuhan ce­merlang Zamri Morshidi dan Rashid Aya diteruskan agar dapat membantu pasukan maraih tiga mata penuh.

“Kedua-dua pemain ini telah mempamerkan per­mainan yang cukup cemer­lang pada Selasa lepas dan saya harap mereka akan meneruskan prestasi tersebut malam ini.”

Alberts bagaimanapun meramalkan anak-anak buah­nya bakal berdepan halangan sukar pada pertembungan itu nanti.

Ujarnya, Selangor PKNS mempunyai barisan pemain yang berkebolehan lebih-leb­ih lagi dua penyerang import mereka Karlo Primorac dan Patrick Ronaldinho.

“Kedua-dua pemain itu berjaya menjaringkan gol pada perlawanan Piala FA Selasa lepas. Ia pastinya menyemarakkan lagi seman­gat mereka untuk membantu pasukan mencatat kemenan­gan.”

Selangor PKNS juga mem­punyai rekod cemerlang dalam dua perlawanan sebe­lum ini dengan menundukkan ATM dan Kelantan.

“Apa pun, barisan pemain telah bersedia sepenuhnya baik dari segi mental mahu­pun fizikal. Saya yakin, keme­nangan akan berpihak kepada kita jika pemain mengekalkan corak permainan seperti sebe­lum ini,” katanya.

Thursday, February 6, 2014

Semangat Kental Resepi Utama

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts memuji semangat kental dipamerkan anak-anak buahnya sehingga berjaya menyingkirkan Selangor pada perlawanan pusingan kedua Piala FA kelmarin.

Ujarnya, pemain wajar mendapat kredit setelah ber­jaya menahan tekanan dari pasukan lawan meskipun bermain dengan 10 pemain ditambah dengan keadaan cuaca yang panas terik di Stadium Majlis Per­bandaran Pe­taling Jaya (MBPJ).

“Saya cukup gembira dengan kemenan­gan ini dan syabas kepada pemain kerana menampilkan semangat juang yang cukup tinggi.

“Mereka mengikut apa yang telah diran­cang­kan dan ia men­jadi kunci ke­jayaan kita pada perlawanan terse­but,” jelas Alberts sam­bil mengakui nasib sedikit memihak pasukannya kel­marin.

Pada perlawanan kelmarin, Sarawak mengejutkan Selan­gor 1-0 menerusi jaringan Zamri Morshidi pada minit ke-32.

Pemain sayap itu me­luru masuk untuk menan­duk kencang bola hantaran jauh kapten pasukan Ronny Harun setelah gagal disam­bar Alireza Abbasfard dan Junior Eldstal.

Sarawak bagaimanapun dikejutkan dengan layangan kad merah terhadap pen­jaga gol Sani Anuar Kam­sani setelah mengasari Fit­tri Syazwan Raduwan pada minit ke-62.

Beraksi dengan 10 pemain memaksa Sarawak lebih banyak bertahan dari asa­kan bertubi rangkaian penyerang Selan­gor yang diket­uai Paulo Rangel, Juninho dan Fittri.

Namun, barisan perta­hanan Sarawak yang diket­uai Ronny, Gabor Gyepes, Hairol Mokhtar dan Rames Lai bertindak cemerlang memastikan gawang mereka tidak dibolosi hingga tamat masa perlawanan.

Sarawak akan menentang KL Felda United pada sain­gan suku akhir pertama Se­lasa depan (11 Februari).

Manakala suku akhir ked­ua akan diadakan pada 18 Februari di Stadium Negeri, Kuching.

Wednesday, February 5, 2014

Sarawak Melangkah Bergaya

 
Singkirkan Selangor dengan kemenangan 1-0 untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA

KUCHING: Sarawak mengorak langkah ke saingan suku akhir Piala FA 2014 setelah menyingkirkan pendahulu Liga Super 2014 setakat ini, Selangor dengan kemenangan bergaya 1-0 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, petang semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang Sarawak, Zamri Morshidi pada minit ke-33 selepas menerima lontaran jauh Ronny Harun.

Selepas jaringan itu, Red Giants (Selangor) terus melancarkan asakan bertubi- tubu namun kekentalan benteng pertahanan Sarawak berjaya mematahkan serangan yang diketuai pemain importnya, Paulo Rangel Do Nascimento
.
Bagaimanapun, pada minit ke-62 penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani dilayangkan kad merah selepas mengasari Fitri Shazwan di luar kotak penalti.

Pasukan tuan rumah yang terdesak memburu gol penyamaan, bagaimanapun memasukkan pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah dan pemain tempatan, Abdul Hadi Yahya.

Namun, kemasukan kedua- dua pemain berpengalaman itu gagal membuahkan hasil apabila serangan bertali arus Selangor berjaya dikekang pertahanan Sarawak yang dikemudikan oleh Gabor Gyepes, Ronny, Mohd Hairol Mokhtar dan Ramesh Lai.

Sarawak yang beraksi dengan 10 orang pemain hampir berjaya menjaringkan gol kedua, namun percubaan Ashri Chuchu berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Mohd Farizal Marlias.

Kejayaan pasukan Sarawak menjejak kaki ke suku akhir Piala FA musim ini diiringi sokongan padu kira-kira ribuan penyokong setia Ngap Sayot yang menyaksikan perlawanan tersebut di Selangor petang semalam.

Pusingan suku akhir bakal menyaksikan Sarawak akan menentang pemenang antara pasukan KL Sime Darby dan Felda United.

Pada perlawanan pusingan pertama sebelum ini, pasukan Ngap Sayot mengalahkan Pulau Pinang dengan 2-1 di Stadium Negeri.

Sementara itu, pada Jumaat ini Sarawak akan menentang Selangor PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada saingan Liga Super 2104.

Tuesday, February 4, 2014

Padang MBPJ Resahkan RA


JURULATIH Sarawak Robert Alberts mula dilanda keresahan menjelang perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang ini. Bukan gentar berdepan dengan skuad Gergasi Merah itu tetapi lebih membimbangkan permukaan padang yang tidak rata di stadium berkenaan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan jurulatih.

"Kebanyakan jurulatih mengadu tentang keadaan padang yang kurang memuaskan di stadium berkenaan dan saya juga turut bimbang kerana ia boleh mempengaruhi rentak permainan anak buah saya," katanya. Beliau berkata keadaan permukaan padang yang tidak rata boleh menyebabkan bola mudah melantun, sekali gus boleh menjejaskan pemain daripada memperagakan aksi dengan lebih baik.

 Dalam pusingan pertama Piala FA pada 21 Jan lepas, Sarawak mengalahkan Pulau Pinang 2-1 dan skuad Ngap Sayot itu turut mencipta kemenangan pertama dalam Liga Super dengan menewaskan Sime Darby 3-0, Sabtu lepas. Jurulatih dari Belanda itu berkata dengan barisan lengkap dan keadaan padang yang baik, beliau yakin anak buahnya mampu mengatasi pasukan Selangor atau mana-mana pasukan dalam Liga Super.

Beliau turut gembira dengan keserasian jentera serangan yang didapati lebih berkesan dengan gandingan penyerang import Milorad Janjus dan pemain tempatan. Selepas mendapati gandingan Milorad dan penyerang import Aliredza Abbasfard tidak berkesan dalam dua perlawanan pertama musim ini, Alberts merehatkan Aliredza pada perlawanan menentang Sime Darby.

Sarawak kalah 2-0 kepada ATM dalam aksi pembukaan, selain tumbang 0-1 kepada Kelantan dalam perlawanan di tempat sendiri. "Walaupun pemain import kurang menyerlah tetapi gandingan terbaru ini lebih baik dan saya mengharapkan pemain import supaya lebih berpengaruh dalam pasukan," katanya.

Selain Milorad dan Aliredza, Sarawak juga mempunyai penyerang import Muamer Salibasic yang masih belum pulih daripada kecederaan lutut dan pemain pertahanan Gabor Gyepes. Pusingan kedua Piala FA akan dilangsungkan secara kalah mati. Sekiranya seri sepanjang 90 minit, maka masa tambahan 30 minit akan diberikan dan jika masih lagi seri, maka sepakan penalti akan menjadi penentu.

Apa-apapun kita sebagai Penyokong Setia Ngap Sayot mendoakan agar kemenangan petang ini berpihak kepada kita.

***DOAKAN SARAWAK MENANG***

Monday, February 3, 2014

Hati-Hati Beli Jersi Ngap Sayot



PEMINAT skuad Ngap Sayot diminta agar berhati-hati ketika membeli jersi pasukan tersebut kerana didapati terdapat jersi tiruan yang dijual di perkarangan Stadium Negeri ketika perlawanan antara Sarawak dan Kelantan dalam kempen Liga Super pada 25 Januari lalu.

Ia bukan sahaja meniru jenama antabangsa, tetapi juga meniru jenama pemilik iaitu "Starsport", iaitu jenama yang digunakan oleh pasukan bola sepak Sarawak dan ditaja oleh pemilih jenama iaitu Lea Sports Centre.

Pada 25 Januari lalu penguatkuasa daripada MDTCC mendapati terdapat penjual yang tidak bertanggungjawab yang menjual jersi tiruan. ’Menjual barangan tiruan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Deskripsi Perdagangan 2011," kata Ketua Penguatkuasa MDTCC, Mohd Nor Musa. 

Katanya, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan denda RM10,000 (maksimum) untuk setiap kesalahan atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun. "Pihak kami akan memantau dii pekarangan Stadium negeri setiap kali perlawanan di Kuching," tegasnya.