Friday, January 17, 2014

Hairol Sedia Cantas ATM!

 Mohd Hairol Mokhtar-Pertahanan Sarawak

PEMAIN pertahanan Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar bersiap sedia untuk ’mencantas’ serangan barisan handal, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi pertama Liga Super 2014 di Selayang Sabtu ini. Hairol bagaikan tidak sabar untuk menunggu aksi pertama tersebut yang dianggapnya sebagai perlawanan penting. "Sudah pasti kami mahu mencatat keputusan yang positif dalam perlawanan tersebut dan saya begitu teruja untuk bermain," jelas Hairol. Hairol merupakan tonggak pertahanan utama Sarawak sepanjang musim lalu yang turut membantu Sarawak menjuarai Liga Perdana 2013 dan ke separuh akhir Piala Malaysia 2013.

Namun saingan kali ini menghadirkan senario yang agak berbeza buat Hairol kerana beliau ditukar posisi oleh bosnya, Robert Alberts. Bagaimanapun bagi Hairol, perubahan posisi, dari bahagian pertahanan tengah ke pertahanan kanan bukanlah satu masalah. Malah katanya, beliau sudah mampu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

"Ia merupakan satu cabaran buat saya... tetapi bukan sebagai masalah," jelas Hairol yang pernah menyertai skuad Malaysia dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2015. "Persefahaman semakin meningkat dari semasa ke semasa dan saya berharap ia akan terus meningkat dalam perlawanan sebenar nanti," kata bekas bintang DBKU itu.

Hairol akan membentuk kekuatan benteng Sarawak bersama tiga lagi pemain iaitu, Gabor Gyepes (bek tengah), Ronny Harun (bek tengah) dan Ramesh Lai Ban Huat (bek kiri). Apa yang pasti, Hairol akan memainkan peranan penting untuk mencantas setiap serangan ATM melalui sayap kiri Sabtu nanti.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, Robert Alberts menjelaskan bahagian pertahanan Sarawak menunjukkan peningkatan dari perlawanan ke perlawanan dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan Sabtu ini. Malah kem motivasi di Puncak Borneo baru-baru ini mencetuskan semangat tambahan buat Sarawak untuk menggegar dalam Liga Super 2014.

No comments:

Post a Comment