Thursday, January 9, 2014

FAS Jual Tiket "ONLINE" 10 Hari Sebelum Perlawanan

TEMPAHAN tiket secara atas talian ("online") untuk perlawanan membabitkan pasukan Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya hanya akan dibuka kepada peminat sepuluh hari sebelum perlawanan. Demikian dijelaskan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki pada sidang media di Pejabat Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah semalam. "Musim ini kita memperkenal tempahan tiket secara "online" kepada para peminat bagi memudahkan mereka.

Namun, tempahan hanya akan dibuka sepuluh hari sebelum tarikh perlawanan," kata Abu. Sambil menyatakan peminat yang ingin membuat tempahan secara talian boleh melayari laman sesawang ataupun "Facebook" Persatuan Bola Sepak Sarawak.

Menurut Abu, proses tempahan tiket secara talian ini amat mudah dengan peminat hanya perlu memasukan data peribadi beserta nombor kad pengenalan mereka. "Apabila proses tempahan telah dibuat, mereka akan menerima satu salinan tempahan yang telah dibuat dan peminat boleh menuntut tiket sebenar masuk ke Stadium Negeri, Petra Jaya untuk perlawanan pada tarikh ditetapkan itu di empat lokasi yang ditetapkan," kata Abu yang turut menyatakan proses pembayaran tempahan dibuat melalui kad kredit dan bayaran terus ke akaun bank ditetapkan.

Tempat bagi peminat menuntut tiket yang ditempah secara talian itu ialah Stadium Negeri, Lea Sports Centre, Wisma Hopoh, Lea Sports Centre Sarawak Plaza selain Lea Sports Centre Kuching Central. Dalam pada itu, Abu menyatakan, pihaknya tidak bercadang melakukan jualan tiket secara talian secara menyeluruh sebaliknya menetapkan untuk 50 peratus sahaja.

"Kita juga akan menjual tiket seperti biasa di kaunter Stadium Negeri, Petra Jaya sebelum hari perlawanan selain di premis Lea Centre, Wisma Hopoh. Dan jualan untuk secara talian pada kadar 50 peratus sahaja," katanya. Sementara itu, pihak FAS juga sudah mula menjual tiket bermusim dengan harga RM700 pentas utama B (Grandstand B), RM500 (Tempat Duduk Tertutup Teres) dan RM300 (Tempat Duduk Terbuka).

"Seperti biasa kita sudah pun menjual tiket bermusim dengan harga ditetapkan itu dan saya percaya ia akan dapat memberi keselesaan kepada peminat," jelas beliau sambil memberitahu tiket tersebut digunakan untuk kemasukan ke Stadium Negeri, Petra Jaya sepanjang musim ini merangkumi saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Hadir sama dalam sidang media semalam ialah Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi dan Ketua Pegawai Operasoi (COO) MyElink Sdn. Bhd., Dr Wong Wing Seong.

No comments:

Post a Comment