Saturday, December 21, 2013

KUCHING BAKAL MENERIMA 'DURIAN RUNTUH'

Jika berjaya menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala ISUZU-FAS Bawah 19 Tahun Sarawak 2013

KUCHING: Pemain Kuching bakal menerima ‘durian runtuh’ jika berjaya menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala ISUZU-FAS Bawah 19 Tahun Sarawak 2013.Demikian janji Pengurus Pasukannya, Ahmad Zaki Zaidi kepada anak-anak buahnya yang berjaya melangkah ke final dan bakal bertemu Limbang malam ini di Stadium UNIMAS Kota Samarahan.

“Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan prestasi semua pemain. Mereka telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi untuk membawa Kuching melangkah sejauh ini (final).“Justeru, adalah wajar bagi semua pemain diberi pengiktirafan dan ganjaran daripada persatuan,” katanya di sini semalam.

Menurut Zaki, ganjaran yang bakal diterima para pemain merangkumi setiap kemenangan yang telah dicapai sepanjang saingan bermula.“Harapan saya, bonus yang dijanjikan ini dapat menyuntik semangat para pemain agar berjuang habis-habisan pada perlawanan akhir nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Zaki enggan meramalkan prospek pasukannya pada final malam ini meskipun besar hasrat mereka untuk dinobatkan juara.Ini kerana, beliau masih menganggap Kuching sebagai pasukan ‘underdog’ dan memiliki kekurangan yang perlu diperbaiki.Apatah lagi berdepan Limbang yang dilihat semakin bersemangat untuk meranapkan impian mereka.

Namun, ia tidak merencatkan hasratnya untuk melihat jagoan warga kota menjulang piala berprestij itu buat julung kalinya.“Kekalkan momentum dan fokus. Jika pemain berjaya mengikut apa yang dirancang oleh jurulatih, insya…Allah kejuaraan pasti milik kita,” tambahnya.

Bagi Pengurus Limbang, Abdul Ajis Kon kejayaan melangkah ke final kejohanan itu bukanlah sesuatu yang berada dalam perancangan awal pasukan.Namun, setelah melihat perjalanan anak-anak buahnya sepanjang saingan, beliau optimis trofi kejohanan mampu dibawa pulang ke Limbang.Cuma yang menjadi persoalannya kini adalah mampukah pemain-pemainnya mengekang kerakusan penyerang Kuching dalam memburu jaringan.

Untuk itu, beliau dan barisan jurulatih merangka ramuan istimewa untuk memerangkap pergerakan pasukan lawan.“Kita tahu Kuching sebuah pasukan yang cukup mantap dan pemain-pemain mereka mempunyai kemahiran yang tinggi.“Namun, ia tidak bermakna kita akan mengalah dan saya pasti para pemain tidak akan memberi laluan mudah dan berusaha sedaya upaya untuk membawa balik kejuaraan ke bumi Limbang,” katanya.

Hari ini juga bakal menentukan pasukan mana yang layak menduduki tempat ketiga dan keempat melibatkan pertemuan Miri dan Young Crocs/SFDP 17.Perlawanan kedua-dua pasukan akan berlangsung di Stadium Mini Samarahan pada jam 3 petang ini.

Kuching bakal menerima ‘durian runtuh’.

♡♥♡SARAWAK SELAMANYA TETAP DIHATI♥♡♥

★GM★

No comments:

Post a Comment