Tuesday, March 11, 2014

Sarawak Uji Import Baharu

SKUAD Sarawak kini dalam proses menguji kelibat dua calon import penyerang baharu, Karim Darbaki, 21 dari Maghribi dan David  Strihavka, 31 dari Republic Czech.

Kedua-dua pemain terbabit tiba di Kuching malam kelmarin dan mula berlatih bersama pemain lain selain diberi peluang mempamerkan aksi masing-masing dalam perlawanan sesama sendiri di Stadium Sarawak, Petra Jaya petang semalam.

Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, ia proses awal beliau dalam mengenal pasti calon import penyerang baharu ke arah memantapkan jentera serangan pasukan.

Bagaimanapun tegas Alberts, kedua-dua pemain terbabit (Karim Darbaki & David  Strihavka) dinilai prestasi mereka sepanjang seminggu diberi peluang berlatih bersama skuad Sarawak.

"Kedua-dua pemain ini datang dengan rela hati untuk diuji dan bukannya diundang oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), dan saya akan cuba menilai kemampuan mereka sepanjang seminggu ini," kata Alberts ketika mengulas perkara itu.

Menurut Alberts, beliau tidak menolak kemungkinan akan memilih yang terbaik dari kedua mereka sekiranya benar-benar bagus dan menepati kriteria diinginkan selaku penyerang.

Karim Darbaki pernah menyertai kelab dari Brazil, Caremio Barveri selama enam bulan sambil David Strihavka pernah mewakili kelab dari Beirut, Al-Ahed (2013).

Ditanya mengenai import baharu dari Australia yang menggantikan bekas penyerang kelahiran Iran, Alireza Abbasfard iaitu Ryan Griffiths, alberts menegaskan, penyerang baharu Sarawak itu akan tiba di Kuching dua hari lagi.

"Ketika ini import dari Australia (Ryan Griffiths) sah akan bersama Sarawak, dia akan tiba di Kuching dalam sehari dua ini dan dijangka dapat diturunkan pada perlawanan menentang Selangor pada 25 Mac nanti," kata Alberts lagi.

Proses pendaftaran pemain baharu bermula pada 22 Mac ini dan jika urusan berjalan lancar besar kemungkinan akan dapat menyaksikan aksi pertama Ryan Griffiths menentang Selangor (25 Mac) di Stadium Negeri, Patra Jaya.

Dalam perkembangan sama, Alberts menjelaskan, seorang lagi calon penyerang dari Cameroon juga dijangka akan tiba dalam masa terdekat ini untuk tujuan sama.

No comments:

Post a Comment