Friday, July 18, 2014

Sukan Bolasepak Tempatan: Samarahan Yakin Percaturan ‘Bidin’

KUCHING: Bekas bintang Ngap Sayot, Ibrahim Mentali diberi mandat oleh Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) membimbing skuad Samarahan bagi menghadapi kempen Piala Sarawak 2014 yang akan berlangsung di Kuching pada September nanti.

“Beberapa hari lalu Presiden dan Timbalan Presiden PBBS Haidel Heli dan Ismawi Muhammad ada menyatakan minat untuk menggunakan khidmat saya bagi melatih skuad Samarahan. “Saya bersetuju menerima tawaran tersebut dan mungkin memulakan tugas tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” jelas Ibrahim semalam.

Penglibatan Ibrahim dalam kancah bola sepak tempatan tidak perlu diperkenalkan lagi di mana beliau pernah membimbing skuad ternama seperti SEG FC menjuarai Liga Juara-Juara pada 2011 di Betong selain membawa Persela FC merangkul kejuaraan Liga Kuching-Naim pada 2012.

Di bawah kendalian Ibrahim, Persela juga ditabalkan juara Piala Datuk Abang Johari dua kali berturut-turut. “Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pihak PBBS di atas kepercayaan yang diberikan dan bersedia memberikan yang terbaik untuk memastikan Samarahan mencipta kejutan pada kempen kali ini.”

“Saya percaya dengan kerjasama serta komitmen padu dari pihak pengurusan PBBS dan pemain akan merealisasikan impian kita untuk memburu kejuaraan,” tambahnya. Dalam pada itu, Ibrahim menjelaskan beliau belum dapat memutuskan barisan pemain yang akan dipilih bagi mewakili Samarahan pada kempen berprestij tersebut.

Namun yang pasti, beliau akan menilai secara teliti prestasi beberapa pemain yang bermain dalam skuad yang bersaing dalam Liga Samarahan 2014 seperti Yayasan Sarawak- Sanjung Etika, Sambir Bistari, Team Kickalob K2015, Ocean Eagles dan Gedong FC.

“Saya akan mendapatkan cadangan dari jurulatih-jurulatih skuad yang bersaing dalam Liga Samarahan 2014 berhubung pemain yang akan kita pilih. “Kita meletakkan impian tinggi dalam kempen kali ini. Justeru, saya mahu hanya pemain terbaik dipilih bagi mewakili skuad Samarahan kali ini,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment