KUCHING:
Sarawak harus berterima kasih kepada penjaga gol pilihan kedua, Mohd
Fadzley Rahim setelah mempamerkan aksi bertaraf bintang ketika membantu
membenam Kelantan dengan 1-0 pada perlawanan Liga Super 2014 di Stadium
Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin. Malah, jurulatih
sementara Kelantan, Hashim Mustapha turut memuji ketangkasan Mohd
Fadzley yang banyak menggagalkan serangan anak-anak buahnya sepanjang
perlawanan itu.
Gol kemenangan Sarawak dijaringkan oleh penyerang
import dari Australia, Ryan Alan Griffiths pada minit ke-51 setelah
pantas merampas bola yang gagal dikeluarkan dengan kemas oleh pertahanan
Kelantan, Obinna Nwaneri sebelum melambung tepat ke gawang lawan
menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan yang mahu memadam duka
selepas tewas 0-4 di tangan Sime Darby pada Selasa lalu menurunkan
kesebelasan terbaik mengasak kubu Sarawak sepanjang perlawanan menerusi
rangkaian penyerang Forkey Doe, Mohamad Ghaddar dan Brendan Gan. Peluang
terbaik mereka muncul seawal minit keenam menerusi gerakan cantik
Ghaddar namun sepakannya mudah ditangkap kemas oleh Mohd Fadzley.
Sementara
pada minit ke-15, giliran Forkey menguji ketangkasan Fadzley menerusi
rembatan kencang dari luar petak penalti namun masih gagal menerjah
jaring pasukan pelawat (Sarawak). Strategi Ketua Jurulatih
Sarawak, Robert Alberts dengan memasukkan Muamer Salibasic bagi
menggantikan Joseph Kalang Tie pada separuh masa kedua ternyata berhasil
apabila gandingan kedua-dua pemain itu mampu mengkucar-kacirkan
pertahanan Kelantan.
Hasilnya, gerakan satu dua kedua-dua pemain itu berjaya meletakkan Sarawak di hadapan menerusi jaringan Ryan pada minit ke-51.Pada
minit ke-70, Mohd Fadzley sekali lagi menyebabkan penyokong Kelantan
menggigit jari apabila berjaya menampan keluar bola tandukan cantik
Forkey Doe.
Usaha terakhir Kelantan untuk menyamakan kedudukan
pada masa kecederaan juga punah apabila sepakan percuma kapten Mohd
Badhri Radzi sekadar mengena pertahanan Sarawak. Kemenangan ketiga berturut- turut Sarawak itu melonjakkan mereka ke tangga keempat setakat ini dengan mengumpul 22 mata.
“Kita
berjaya bermain mengikut pelan yang telah dirancang terutamanya dalam
mengekang asakan pasukan lawan,” kata Alberts ketika mengulas perlawanan
itu semalam.“Sekalipun keletihan kerana jadual perlawanan yang
ketat, pemain-pemain kita tetap menunjukkan kesungguhan untuk memenangi
perlawanan dan ia cukup membanggakan saya,” katanya gembira
Bagaimanapun, Alberts berpendapat Kelantan sepatutnya memenangi
perlawanan itu kerana banyak mendominasi permainan.
Beliau turut
melahirkan rasa kagum dengan persembahan Mohd Fadzley yang berjaya
mematahkan deretan asakan barisan pasukan Kelantan.
Sarawak akan
meneruskan perjuangan pada kancah Liga Super 2014 dengan menentang KL
Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuala Lumpur pada 10
Mei depan.
No comments:
Post a Comment