Thursday, April 10, 2014

Berita Semasa 1: Hilang Selepas Terlanggar Boya

Nelayan dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke laut dari bot dinaiki bersama majikan

MIRI: Seorang nelayan dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke laut selepas bot yang dinaikinya bersama majikan terlanggar sebuah boya dalam kejadian yang berlaku di perairan Batu Satu, Kuala Baram di sini, pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Ismawi Nawin, 36, dari Bandar Baru Permyjaya di sini.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat majikan terbabit yang dikenali sebagai Tan Yui Ming, 50, di Balai Polis Lutong di sini sekitar jam 10 pagi semalam.

Terdahulu, menurut Tan, sekitar jam 5.30 pagi, dia bersama Ismawi pergi menangkap ikan di kawasan perairan Batu Satu, Kuala Baram.

Setibanya di kawasan sejauh tujuh batu nautika dari pantai Batu Satu, tiba-tiba bot mereka terlanggar salah sebuah boya yang dipasang di kawasan itu.

“Kami berdua masing-masing tidak nampak boya berkenaan memandangkan apinya (lampu) tidak menyala. Tambahan, keadaan cuaca ketika itu masih gelap.

“Akibat pelanggaran itu, pekerja saya (Ismawi) telah terjatuh ke laut. Saya cuba menyelamatkannya namun gagal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tan juga memberitahu semasa kejadian, dia sedang mengemudi enjin bot, manakala Ismawi duduk di haluan.

Difahamkan, mereka bertolak dari pantai sekitar jam 5 pagi dan tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian untuk melakukan tugas rutin sebagai nelayan.

Berikutan itu, satu operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilancarkan pihak berkuasa semalam.

Bagaimanapun, sehingga operasi dihentikan pada petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi tersebut akan disambung semula hari ini.

(C) BORNEO POST ONLINE

No comments:

Post a Comment