KUCHING: Sebuah keluarga di Taman Riverview, Bintawa di sini
menanggung kerugian mencecah RM15,000 selepas rumah mereka dipecah masuk
pencuri, kelmarin.
Difahamkan, insiden tersebut hanya disedari
keluarga berkenaan selepas mereka pulang dan mendapati keadaan di dalam
rumah berselerak sekitar jam 1.45 petang.
Hasil pemeriksaan,
mereka mengesyaki rumah tersebut telah dimasuki pencuri dipercayai
melalui pintu belakang berikutan terdapat kesan kerosakan akibat dibuka
secara paksa.
“Mereka turut mendapati beberapa barangan telah
hilang termasuk wang tunai sekitar RM3,000, koleksi barang kemas
bernilai mencecah RM7,000 serta beberapa peralatan elektronik seperti
telefon bimbit dan sebagainya,” kata sumber.
Keluarga berkenaan kemudian tampil di balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis berhubung kejadian.
Sementara
dalam satu kejadian berasingan, seorang wanita turut membuat laporan
polis mendakwa telah dirompak sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung
Demak Baru, kelmarin.
Insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 12.30
tengah hari ketika mangsa yang berusia 65 tahun bersama cucunya sedang
berehat di rumah mereka dan didatangi lima lelaki tidak dikenali.
Menurut
sumber, kelima-lima lelaki tersebut bertindak memecahkan barang-barang
di dalam rumah mangsa, selain mengugut akan mencederakan mangsa jika
cuba melawan.
Mangsa yang risau akan keselamatan mereka menuruti
arahan suspek sebelum dia dan cucunya itu berjaya menyelamatkan diri
beberapa minit kemudian.
Suspek kemudian beredar dari rumah mangsa
selepas dipercayai melarikan barang kemas serta wang tunai sekitar
RM2,000 milik mangsa.
No comments:
Post a Comment