Sunday, November 10, 2013

SEJARAH LEGENDA BOYAK BUJANG SENANG

Assalamualaikum wbt.. khabar kitak org tek oi? Sihat semua? ADMIN SFS mok cita cikit pasal Bujang Senang : Monster of Sarawak River.!! Tok ceritanya...

    Bujang Senang adalah merupakan seekor buaya hitam putih gergasi yang telah hidup pada zamannya di sepanjang Sungai Batang Lupar di Sri Aman.SERANGAN buaya terkini yang dilaporkan di Sarawak sejak akhir-akhir ini adalah satu tragedi yang biasa berlaku sejak 1940-an lagi. Sarawak bumi Kenyalang terkenal dengan keganasan buayanya sejak serangan yang terakhir Bujang Senang pada tahun 1992 yang menjadi lipatan sejarah Sarawak. 
  Kemunculan buaya pemangsa terbaru, Bujang Seblak mengikut mentornya yang terdahulu iaitu Bujang Senang , Bujang Samarahan dan Bujang Tisak adalah seekor buaya gergasi hitam yang kini dipercayai masih menganas dan terus memburu mangsanya di sepanjang Sungai Seblak. Memandangkan tiada maklumat terperinci tentang Bujang Seblak ini maka ada lebih baiknya kita meneropong kembali sejarah kehebatan buaya terdahulu iaitu Bujang Senang sekiranya kita ingin mengetahui lebih mendalam tentang Bujang Seblak yang kini telah membunuh 3 orang sejak tahun 2007.
    Ketika Bujang Senang menganas dahulu, pelbagai versi cerita tentang buaya ini boleh kita dengar dari pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak pada masa itu. Itulah Bujang Senang.
    Ia juga digambarkan mempunyai sepasang mata yang besar dan merah menyala dan boleh dilihat 1 kilometer jauhnya.Lagenda Bujang Senang yang cuba dikuti kembali oleh Bujang Seblak mempunyai cerita yang pelbagai versi bagi mencantikkan kehebatannya. Terdapat mitologi Iban mengenai Bujang Senang. Ia dikatakan jelmaan dari seorang lelaki yang dikenali sebagai Simalungun, mengikut cerita dari orang-orang lama, Simalungun telah dibunuh dan seterusnya menjadi gergasi legenda buaya putih yang mendiami Sungai Batang Lupar di Sri Aman Sarawak. 
    Sejak dari hari itulah dia telah bersumpah bahawa dia akan mengganas semua keturunannya. Adalah dipercayai Simalungun aka Bujang Senang ini telah menganas sejak 50 tahun (1941-1992) sebelum menemui ajalnya. Bujang Senang adalah dari spesis CROCODYLUS POROSUS berukuran 20 kaki panjang dan mempunyai jalur putih di belakangnya. Adalah dipercayai lebih kurang 100 orang telah jatuh ditangannya sepanjang beliau bermaharajalela di Batang Lupar. Mangsa terakhirnya pada 22 mei 1992, seorang gadis Iban, Dayang anak Bayang dibunuh di Sungai Pelaban , satu lagi anak sungai Batang Lupar berhampiran Lingga di Bahagian Sri Aman, Sarawak, Malaysia.
    Buaya ini yang kemudiannya menjadi legenda telah ditembak mati oleh beberapa penembak tepat polis dan pemburu Iban selepas meburunya selama empat jam. Ia adalah buaya yang terbesar dan tertua yang pernah ditangkap di kawasan itu. Tulang rahang Bujang Senang telah disimpan di Jong Crocodile, Miri Sarawak.Cerita awal tentang keganasan Bujang Senang ini bermula pada tahun 1982 sewaktu saya masih darjah 4 di SRB ST. Joseph Kuching apabila reptilia itu membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman, Sarawak. 
    Pada masa itu, Penghulu Bangan bersama abangnya Kebir sedang asyik menangguk udang di Sungai Sungga, cabang Batang Lupar sebelum dia terpijak sesuatu di dasar sungai.  Sepantas kilat, seekor buaya besar timbul dengan tubuh Penghulu Bangan di rahangnya. Kebir yang dari tadi memerhati dari tebing terus terjun dan memeluk ekor buaya itu demi menyelamatkan adiknya tetapi tidak berjaya. Ketika itulah Kebir menyedari buaya itu mempunyai belang putih di belakangnya. Warna itu pula kelihatan berkilau-kilauan.  Operasi mencari mayat Penghulu Bangan berterusan selama lima hari tetapi cuma bahagian atas mayat lelaki itu ditemui. Berikutan itu, polis Sarawak melancarkan Operasi Buaya Ganas di semua sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas.  Operasi itu gagal dan Bujang Senang terus mengganas.
    Di antara tahun 1982 hingga 1991, sebanyak 13 orang menjadi mangsa kebuasan Bujang Senang walaupun mengikut cerita yang tidak dapat disahkan ia telah menganas sejak tahun 1941 lagi.Kejatuhan Bujang Senang berlaku pada tahun 1992 dan saya masih ingat lagi ketika itu saya berada di Kuching untuk mencari peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian saya di Institut Teknologi Mara Cawangan Sarawak tanpa segulung Diploma. Pada Mei 1992, Bujang Senang menyambar mangsa ke-14, Dayang anak Bayang, 20, ketika gadis Iban itu menyeberang Sungai Pelaban, cabang Batang Lupar bersama ibunya.  Air Sungai Pelaban hanya sedalam separas pinggang tetapi sebaik sahaja ibunya naik ke tebing, tiba-tiba satu deburan kuat menyebabkan Dayang hilang daripada pandangan. Abang Dayang, Enie Bayang dengan bantuan rakan-rakannya segera membantu. Bersama mereka ialah si bomoh Mandau yang tidak henti-henti membaca mantera. Setelah lebih dua jam, Enie menjumpai mayat adiknya yang masih sempurna di celah-celah puing di salah satu lubuk sungai itu.Dengan tidak disangka, kelibat buaya itu timbul semula di permukaan sungai. Dengan pantas bak pahlawan Iban di masa dulu, Mandau melemparkan lembing ke kepala buaya itu namun lembing itu patah. Beberapa das tembakan yang dilepaskan Enie pula gagal membunuhnya. Buaya itu lantas melarikan diri ke arah Batang Lupar namun terhalang oleh sebatang kayu besar yang merentangi mulut Sungai Pelaban.Ketika itulah penduduk dari tiga buah kampung iaitu Pelaban, Suduku dan Lingga mengepungnya. Sebanyak 40 das tembakan dilepaskan dengan 22 daripadanya tepat di kepala haiwan itu. Semua tembakan itu menggunakan peluru paku sepanjang 10 sentimeter. 
    Akhirnya buaya itu menemui ajal dan bangkainya kemudian diangkut ke rumah panjang yang mengambil masa empat jam perjalanan dari tempat kejadian. Pada ketika itulah barulah disedari di belakang buaya itu ada garisan putih. Penduduk percaya itulah Bujang Senang yang diperkatakan orang selama ini. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Lingga, Awang Mahda Pengiran Mat mengesahkan buaya yang dibunuh itu seekor buaya jantan. Katanya, orang yang membelah perut buaya itu menemui tulang dan rambut yang tidak dapat dipastikan kepunyaan manusia atau binatang, selain timah dan tali nilon.  Buaya itu berukuran 5.46 meter (18.5 kaki) panjang dengan lilitan perut 2.12 meter (6.9 kaki). Berita kematian Bujang Senang itu mengejutkan rakyat Malaysia selepas ia disiarkan akhbar-akhbar arus perdana. Malangnya bangkai buaya itu dibuang ke sungai begitu sahaja. Hanya beberapa hari kemudian kepalanya dikerat dan dibawa pulang oleh seorang lelaki, Johnson Jong untuk tatapan umum di ladang buayanya di Siburan, Sarawak. Johnson, 65, percaya buaya itu adalah Bujang Senang seperti yang didakwa penduduk.  Itulah kali pertama saya berjumpa dengan buaya yang mempunyai jalur putih di belakangnya, imbau Johnson yang membuka Ladang Buaya Jong sejak tahun 1963 lagi. Katanya kepada Jurnal, selepas kejadian 1992 itu, tiada lagi serangan oleh buaya berjalur putih berlaku di sekitar Batang Lupar. Sementara itu, Kurator Sejarah Zoologi dan Semula Jadi Muzium Sarawak, Dr. Charles Leh berkata, sungai-sungai di Sarawak sememangnya terdapat banyak sarang buaya.
    Mengikut sejarah, buaya sudah wujud sejak lebih 160 juta tahun lalu. Jadi kewujudan banyak buaya besar di Sarawak adalah perkara biasa. Jalur putih di belakang buaya yang didakwa Bujang Senang itu berkemungkinan seekor buaya separa albino, ujarnya.  Walau apa pun, masih ada lagi orang yang mempertikaikan kesahihan Bujang Senang sudah mati. Malah terdapat masyarakat Iban di sepanjang Batang Lupar percaya Bujang Senang masih hidup malah bersaiz lebih besar. Oleh kerana itulah jika pukat mereka terjerat anak buaya, mereka akan melepaskannya sambil memohon maaf. Ini semua bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku pada mereka dan keturunan mereka.

♡♥♡SARAWAK TETAP DIHATI SELAMANYA♥♡♥

★GM★

No comments:

Post a Comment