Thursday, February 27, 2014

S’wak Belum Buang Alireza

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan penyerang import asing dari Iran, Alireza Abbasfard, 32, yang dikatakan telah diketepikan.
Sebaliknya FAS masih dalam proses meneliti semula prestasinya dan memberi peluang kepada beliau untuk memperbaiki mutu permainan.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan mengenai Alireza. Namun apa yang pasti belum ada kata putus untuk menamatkan kontraknya,” jelas Sudarsono.

Alireza sekarang ini menjalani latihan seperti biasa bersamka Sarawak yang bermula Isnin lalu.
Menurut Sudarsono, keputusan menyingkirkan pemain hanya akan dilakukan sekiranya terus gagal menunjukkan prestasi yang diharap-harapkan.

Alireza hanya menjaringkan satu gol dalam Sembilan perlawanan yang telah dilalui Sarawak sekarang ini. Malah beliau juga gagal menunjukkan mutu permainan yang baik dan menjadi bahan kecaman para penyokong di Kuching.

Menurut Sudarsono proses mengambil pemain baharu bukannya mudah apatah lagi jika seseorang pemain itu berstatus sebagai pemain asing.

“Mengambil pemain asing baharu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin,” jelasnya.
Jendela perpindahan pemain baharu akan dibuka pada 22 Mac nanti. Sebelum ini, Sarawak dikatakan beria-ia untuk mengambil penyerang import baharu dari Australia iaitu Ryan Griffiths untuk menggantikan tempat Alireza.

Malah jurulatih Sarawak, Ro- bert Alberts berharap sangat agar bekas penyerang kebangsaan Australia itu akan menerajui jentera serangan Sarawak pada penghujung Mac nanti.

Alberts mengakui, kegagalan Sarawak ke separuh akhir Piala FA 2014 adalah berpunca daripada penyerang import yang kurang berkualiti sambil merujuk kepada Alireza.

Malah rakan gandingan Alireza iaitu Milorad Janjus juga dilihat sebagai penyerang import yang belum mencapai tahap memuaskan. Namun penyerang dari Serbia itu telah pun menyumbat empat gol setakat ini.

Sementara itu, skuad Sarawak mula menyambung latihan Isnin lalu. Menurut Alberts tiada perancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Sebaliknya Alberts hanya akan mengadakan perlawanan sesame sendiri petang Sabtu ini untuk menilai prestasi semasa pemain.

Sarawak akan menentang T-Team di gelanggang lawan pada 8 Mac nanti (Sabtu) dan akan menentang Lions XII pada 15 Mac di Kuching (Sabtu).

No comments:

Post a Comment