Monday, February 17, 2014

Janjus Hero Ngap Sayot

PENYERANG import dari Serbia, Milorad Janjus muncul hero skuad Ngap Sayot apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk membenam skuad Seladang, Perak dalam aksi Liga Super 2014 di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching malam tadi yang disaksikan 20,000 penonton. Janjus melakukan jaringan melalui sepakan bebas cantik dari luar petak penalti yang betul-betul menuju ke bucu kanan gawang Perak sekali gus menggegar jaring (minit ketujuh).

Ia merupakan gol ketiga Janjus dalam kempen Liga Super setakat ini. Walaupun bermain dengan 10 orang pada minit ke-69 setelah Junior Eldstal diperintah keluar padang (kad kuning kedua) ekoran menyepak bola selepas tiupan wisel. Dengan kemenangan itu, maka Sarawak kini naik di tangga keempat, di belakang Terengganu. Ini kerana dua pasukan atasan Selangor dan ATM masing-masing kalah. ATM tewas 2-1 kepada Lions XII, manakala Selangor dibelasah 4-1 oleh JDT 1. Bagi jurulatih Sarawak, Robert Alberts, kemenangan tersebut cukup bermakna kerana memberikan tiga mata yang berharga, sekali gus memperbaiki kedudukan.

“Seperti yang saya jangkakan, ia merupakan satu perlawanan yang sukar. Perak beraksi dengan corak pantas dan aksi fizikal,” kata Alberts. “Dalam keadaan seperti ini, pengadil perlawanan sepatutnya melindungi pemain,” jelas Alberts. Menurut Alberts, walaupun turun tanpa dua pemain utama Muamer Salibasic dan Shahrol Saperi dalam kebanyakan aksi, namun ia tidak mengganggu rentak Sarawak untuk mengukir kemenangan. Sementara itu, jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzil menyatakan anak-anak buahnya bermain baik, namun gagal memanfaatkan peluang.

“Kami mencipta beberapa peluang, tetapi para pemain tidak menggunakan peluang tersebut dengan baik,” katanya. Perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan. Bagi Sarawak, kemenangan tersebut bukan sahaja memberikan mata bermakna dalam Liga Super, tetapi juga memberikan semangat tambahan untuk aksi suku akhir kedua Piala FA di Kuching Selasa nanti, menentang Felda United. Kedua-duanya terikat 0-0 dalam perlawanan suku akhir pertama. Sarawak berpeluang untuk menempah tiket ke separuh akhir kerana hanya memerlukan kemenangan dalam perlawanan tersebut.

No comments:

Post a Comment