Wednesday, February 19, 2014

Ngap Sayot Lepaskan Peluang Tiket Ke Separuh Akhir

PIALA FA 2014

SARAWAK gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila tersingkir daripada saingan Piala FA setelah terikat 2-2 ketika menentang Felda United dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching malam tadi yang disaksikan sekitar 20,000 penonton.

Secara agregat kedua-duanya terikat 2-2, namun Sarawak ter- singkir atas kelebihan gol di tempat lawan yang memihak pasukan Felda. Kedua-duanya terikat 0-0 di Selayang dalam aksi pertama.

Zar Rahan Krangar menjadi pemusnah Sarawak apabila menjaringkan kedua-dua gol Felda walaupun ketinggalan dua kali melalui jaringan Joseph Kallang Tie dan Akmal Rizal Rakhli.

“Sudah pasti ia merupakan sesuatu yang mengecewakan ketika kemenangan hampir berada dalam genggaman,” kata jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

“Sekiranya beberapa peluang dapat dimanfaatkan tiket separuh akhir pasti menjadi milik kita,” ujarnya.

“Walau apa pun, para pemain telah pun melakukan segala-galanya, dan nasib tidak memihak kepada kita,” kata Alberts. 

Sarawak bermula dengan baik apabila mendahului pada minit ke-17 melalui Joseph Kallang Tie yang menolak mudah hantaran Ronny Harun. 

Bagaimanapun, pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil rembatan kencang Zar Rahan Krangar.

Bagaimanapun, Sarawak kembali di depan pada minit ke-80 melalui pemain gantian, Akmal Rizal Rakhli yang menolak masuk sepakan sudut Joseph Kallang Tie. 

Namun, Felda sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit kie-82 menerusi Zar Rahan Krangar. Sarawak berusaha untuk mencari gol kemenangan,  namun terpaksa akur.

Dengan kegagalan tersebut, maka Sarawak terus kempunan untuk mara lebih jauh dalam kempen Piala FA. Musim lalu Sarawak turut tersingkir di peringkat ini.

Sarawak pernah menjuarai Piala FA pada 1992 setelah mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di Kuching. Sarawak juga pernah ke final pada 1996 tetapi kalah kepada Kedah 1-0 dan tewas 1-0 kepada Selangor dalam aksi final 2000. Sarawak juga pernah ke separuh akhir pada 1998, tewas kepada Selangor 3-1 di Kuching walaupun menang 1-0 di gelanggang lawan.

Skuad Sarawak akan berehat selama lima hari dan hanya akan menyambung semula latihan pada Isnin depan.

No comments:

Post a Comment