Thursday, June 23, 2016

Shamie yakin Sarawak mampu raih emas bola sepak SUKMA selepas 26 tahun


KUCHING: Penyerang skuad bawah 22 tahun kebangsaan, Nur Shamie Iszuan Amin berazam membantu Sarawak menamatkan kemarau selama 26 tahun untuk merangkul pingat emas dalam acara bola sepak pada SUKMA XVIII yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Julai 2016.
Pemain kelahiran Kuching itu juga optimis skuad bola sepak Sarawak mampu menjuarai acara tersebut pada tahun ini berbekalkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri.
“Secara peribadi saya melihat Sarawak berpeluang memenangi pingat emas pada tahun ini kerana kita akan bermain di tempat sendiri.
“Saya juga yakin barisan pemain dalam skuad Sarawak pada tahun yang dipilih dari skuad Piala Presiden termasuk dari Sekolah Sukan Bukit Jalil adalah yang terbaik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Anak kelima dari enam beradik itu bagaimanapun menegaskan kepada rakan sepasukannya nanti agar bersama- sama bekerja keras dan memberi seratus peratus komitmen untuk memastikan misi besar itu berjaya direalisasikan.
Paling penting semua pemain perlu bersatu hati kerana skuad lain juga tidak kurang hebatnya, tambah beliau lagi.
Menurut Shamie, SUKMA kali ini amat signifikan kerana ia adalah yang pertama dan terakhir baginya mewakili Sarawak pada temasya sukan terulung negara itu.
Justeru, besar impian beliau untuk menghadiahkan pingat emas untuk Sarawak pada SUKMA kali ini.
“Saya sudah berusia 21 tahun pada tahun ini dan SUKMA kali ini akan menjadi pentas terakhir bagi saya. Sudah tentu saya amat berharap dapat menyumbang sesuatu untuk Sarawak,” jelas Shamie lagi.
Beliau turut menaruh harapan tinggi di bahu Ketua Jurulatih Fuad Grbesic untuk membimbing Sarawak merangkul kejuaraan.
Shamie sedang mengikuti kem latihan bersama skuad kebangsaan di Tokyo, Jepun dan akan pulang ke tanah air pada 29 Jun ini.
Selain mewakili skuad Piala Presiden Sarawak, pemain sayap lincah itu turut dipanggil membantu Sarawak dalam kempen Liga Super 2016.
Kali terakhir Sarawak memenangi emas dalam acara bola sepak pada SUKMA 1990 yang turut berlangsung di sini.
Kredit: The Borneo Post Online

No comments:

Post a Comment