Friday, August 2, 2013

MALAM LAILATUL QADAR 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN GANJARAN AMALANNYA BERSAMAAN 1000 BULAN

ASSALAMUALAIKUM WBT...
Bicara ADMIN SFS hari ini bicara pasal Malam Lailatul Qadar...
Renungan bersama.. Jom baca..


 
Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)
Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Firman Allah lagi:

Maksudnya: [3] Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). [4] (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). [5] Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul.
(QS Ad Dukhan: 3-5)

Istilah qadr mempunyai tiga maksud;

Pertama; menetapkan,
kedua ; kemuliaan dan
ketiga ; penyempitan.
Dilihat pada makna pertama iaitu menetapkan, pada malam tersebutlah Allah telah menentukan perjalanan hidup manusia melalui seruan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. ke arah jalan yang hak dan menolak kebatilan dan itulah aturan jalan ketetapan yang ditentukan Allah walaupun penuh ranjau duri.

Kedua, malam tersebut adalah semulia-mulia malam jika diteliti berlakunya penurunan Al-Quran (nuzul Al-Quran) dan pengiktirafan Allah terhadap malam tersebut.

Ketiga, berlakunya kesempitan di dunia kerana jumlah kehadiran para malaikat yang membawa rahmat dan keampunan Allah.

Persiapan menghadapi malam Al-Qadr ialah selama 10 hari sebab ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan, bukannya sehari dua. Pastinya Allah akan menganugerahkan malam Al-Qadr pada mereka yang bersedia untuk 10 malam dan bukan hanya untuk semalam dua sahaja. Inilah falsafah Lailatul Qadr iaitu kita perlukan dalam kehidupan ketika persiapan yang teliti tanpa membenarkan ruang-ruang kerugian untuk mendapatkan kerahmatan dan keredhaan Allah s.w.t. Adapun ketentuan malam Al-Qadr itu pada malam-malam ganjil adalah untuk tidak terlalu memenatkan kita beribadah berterusan pada 10 malam terakhir kerana ada keselangselian. Allah pastinya menganugerahkannya pada orang yang ikhlas.
SEBAB-SEBAB ALLAH ADAKAN MALAM LAILATUL QADAR

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

DORONGAN NABI SUPAYA UMAT TERUS BERIBADAH

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

BILAKAH WAKTU SEBENAR LAILATUL QADAR?

Ia berlaku setiap tahun, bukannya hanya pada ketika ia diwahyukan atau tahun ayat itu diturunkan sahaja.

Pertamanya, Lailatu Qadar hanya akan berlaku dalam bulan Ramadhan.

Kedua, kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Ini adalah pendapat yang paling rajih (absah).

Ketiga, ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Jika ada yang meramalnya dengan berbagai cara ramalan adalah sesat semuanya. Kerana Rasulullah sendiri tidak pernah mengetahuinya, kecuali ditunjukki tanda-tanda yang mudah-mudahan akan memudahkan umat islam mencarinya dan memberi semangat serta motivasi agar umat Islam lebih bersemangat untuk melakukan ibadah pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan.

Inilah kebijaksanaan Allah s.w.t.. Setelah 20 hari berpuasa, manusia sudah mempunyai kekuatan tahap kerohanian dan tingakat kesedaran yang tinggi serta momentum yang diperlukan untuk mempertingkatkan ”gear tertinggi” dalam amalannya. Malaikat turun pada malam tersebut sehingga terdorong orang mukmin melakukan ibadah dengan izin Allah s.w.t. dan merasai sejahtera dan selesa hingga pagi.

Sebenarnya, pengalaman merasai malam Al-Qadr tidaklah dapat dirasai atau dialami oleh pancaindera. Kalaupun perkara-perkara pelik itu berlaku, ia hanyalah satu kebetulan dan ketentuan Allah s.w.t. semata-mata. Rebutlah beramal di malammalam 10 terakhir Ramadan tanpa perlu melihat tanda-tanda fizikalnya. Adapun orang yang mengalami malam tersebut, adakalanya mereka sendiri mengetahui bahawa malam itu ialah malam Al-Qadr. Namun demikian, Allah lebih mengetahui.

APAKAH AMALAN MALAM LAILATUL QADAR

Malam lailatul Qadr adalah malam yang cukup istimewa yang tidak kedapatan pada mana-mana malam. Amalan yang mesti dilakukan pada malamnya ialah memperbanyakkan ibadah, membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdoa.

Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a. berkata:
``Ya Rasulullah bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar? Apa yang harus saya ucapkan pada malam itu?'' Baginda bersabda: Ucapkanlah: ``Ya Allah kami bermohon pada-Mu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni (hamba-hambaMu), maka ampunilah (dosa-dosa) kami.'' (Riwayat Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Doa lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: Wahai Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan
peliharalah kami dan siksa neraka (QS Al-Baqarah [2]: 201).

HIKMAT DIRAHSIAKAN KEHADIRANNYA

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

BERBAGAI TANDA BERLAKUNYA LAILATUL QADAR

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahawasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.
PETANDA DARI HADITS
Beberapa pendapat lain tentang petanda berlakunya malam istimewa ini boleh diketahui pada malam tersebut ataupun pada pagi berikutnya. Namun demikian, semua petanda yang diberikan dalam Hadis adalah terlalu umum dan sukar untuk dihuraikan kerana ketiadaan tanda spesifik dan berfokus.
Petanda pada waktu malam ialah riwayat Imam Ahmad bin Hanbal “Tandanya adalah langit bersih, terang bagaikan bulan sedang purnama, tenang, tidak dingin dan tidak pula panas ...”. Hadis ini menepati keadaan dan suasana malam Al-Qadr yang sejahtera, tenang dan damai. Insyaallah pada malam Lailatul Qadr, barangkali langit tidak akan kelihatan awan hitam atau gumpulan awan tebal yang mengotorkan langit dengan noda.

Katakanlah walau pada malam 27 Ramadan, langit kelihatan terang seperti malam 15 atau 16 bulan purnama. Maksud tenang sukar untuk digambarkan, mungkin merujuk kepada ketenangan malam dan suasana. Cuaca dan suhu tidak dingin dan tidak panas. Kalau di Malaysia barangkali antara 24 hingga 29 darjah celsius.

Petanda waktu pagi selepas malam Al-Qadr pula ialah riwayat Imam Muslim, Abu Daud, dan Al-Tirmidzi antara lain meriwayatkan melalui Ubai bin Ka'ab yang bermaksud: ”Tanda kehadiran Lailatul Qadr ialah matahari pada pagi harinya (kelihatan) putih tanpa sinar (nya).” Apakah yang dimaksudkan di sini matahari tidak kelihatan kemerah-merahan pada waktu pagi? Wallahu A’lam.

FOKUS UMAT PADA MALAM TERSEBUT
Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

FIKIR MASALAH UMMAH KETIKA SEDANG BERIKTIKAF ADALAH IBADAH

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

FADHILAT LAILATUL QADAR

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
``Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.'' (Riwayat Ibnu Majah)

No comments:

Post a Comment