KUCHING: Pengurus Pasukan Kuching, Datuk Posa Majais mengingatkan semua pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan pendatang baharu, Serian apabila kedua-dua pasukan itu bersemuka dalam aksi kedua Liga Bola Sepak Rakyat Zon Borneo II (Sarawak) 2016/2017 (Kumpulan Q3) petang ini.
Menurut Posa, sebaliknya kelebihan lebih memihak tuan rumah (Serian) kerana beraksi di laman sendiri (Padang Kampung Pichin) yang pastinya menyuntikkan semangat pemain-pemain mereka untuk memburu kemenangan kedua.
“Sememangnya kita menyasarkan untuk mencapai kemenangan pada perlawanan ini namun saya menjangkakan tugas sukar pasti akan dihadapi Kuching.
“Ini kerana, Serian juga bukan calang-calang pasukan selepas kemenangan besar mereka pada perlawanan pertama,” katanya mengulas perlawanan kedua-dua pasukan itu di sini semalam.
Sehubungan itu, Posa mahu semua pemainnya tidak bersikap semberono dan lebih berhati-hati pada perlawanan tersebut.
Tambahnya, jentera serangan Serian yang dibarisi ramai pemain berpengalaman memerlukan fokus dan komitmen ekstra daripada seluruh pasukan untuk memastikan mereka tidak dikecewakan.
“Apapun, saya berharap status Kuching selaku juara bertahan akan menjadi pembakar semangat semua pemain untuk meneruskan momentum sekali gus melakarkan kemenangan kedua.
“Saya percaya semua pemain juga menyedari mereka berdepan tanggungjawab besar esok (petang ini) untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.
Berita positif untuk pasukan Kuching adalah semua pemain utamanya bebas daripada kecederaan dan dapat diturunkan pada petang ini.
Ia sekali gus menjanjikan saingan menarik antara kedua-dua pasukan dalam perebutan pendahulu carta kumpulan tersebut.
Perlawanan lain dalam kumpulan itu menyaksikan Sri Aman menentang Samarahan di Kompleks Sukan Sri Aman.
Saingan dalam Q1 menyaksikan Limbang menentang Mukah di Kompleks Sukan Limbang manakala Bintulu menentang Miri di Padang Dewan Suarah Bintulu.
Betong melayan kunjungan Kapit di Kompleks Sukan Betong dan Sarikei menanti kunjungan Sibu di Kompleks Sukan Sarikei untuk aksi Q2.
Semua perlawanan bermula jam 4 petang.
Kredit: UB
No comments:
Post a Comment