Thursday, October 27, 2016

Joseph Sedia Sarung Jersi Sarawak

SEDIA KEMBALI: Joseph semasa menyertai Sarawak pada 2015.

KUCHING: Bekas penyerang Sarawak, Joseph Kalang Tie bersedia menawarkan kembali khidmatnya kepada skuad itu sekiranya diberi peluang oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Ketika dihubungi Utusan Borneo semalam, Joseph, 29, yang kini menyertai skuad Terengganu berkata beliau masih berhasrat untuk kembali menyertai negeri kelahirannya.
“Sudah tentu saya mahu kembali ke Sarawak suatu hari nanti kerana ia tempat kelahiran saya.
“Namun, ia bergantung kepada apa yang ditawarkan oleh pihak FAS.
Setakat ini saya belum menerima apa-apa tawaran daripada mereka,” katanya.
Meskipun besar hasrat untuk kembali ke Sarawak, Joseph tetap berharap FAS dapat mengekalkan barisan pemain sedia ada untuk mengharungi kempen tahun depan.
Ujarnya, barisan pemain sedia ada berhak dikekalkan kerana telah bermain dengan penuh komitmen dan gigih untuk memastikan Sarawak kekal dalam Liga Super.
“Ketika ini fokus saya masih dengan Terengganu.
Kita tengoklah nanti…jika ada rezeki saya akan kembali semula ke Sarawak,” ujarnya.
Menurutnya, beliau akan kembali ke Kuching untuk bercuti bermula 29 Oktober ini.
Joseph menyertai Terengganu pada awal musim ini selepas menabur bakti selama empat tahun dengan Sarawak sejak 2012.
Ia kali kedua penyerang kelahiran Miri itu menyertai Terengganu di mana beliau pernah menyertai skuad sama dari 2007 hingga 2011.
Sumbangan terbesar Joseph ialah membantu Sarawak menjuarai Liga Perdana 2013 dengan rekod tanpa kalah.

Kredit: UB

Monday, October 17, 2016

LBR Zon Borneo II: Skuad Warga Kota Jangan Pandang Rendah Kemampuan Serian


KUCHING: Pengurus Pasukan Kuching, Datuk Posa Majais mengingatkan semua pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan pendatang baharu, Serian apabila kedua-dua pasukan itu bersemuka dalam aksi kedua Liga Bola Sepak Rakyat Zon Borneo II (Sarawak) 2016/2017 (Kumpulan Q3) petang ini.
Menurut Posa, sebaliknya kelebihan lebih memihak tuan rumah (Serian) kerana beraksi di laman sendiri (Padang Kampung Pichin) yang pastinya menyuntikkan semangat pemain-pemain mereka untuk memburu kemenangan kedua.
“Sememangnya kita menyasarkan untuk mencapai kemenangan pada perlawanan ini namun saya menjangkakan tugas sukar pasti akan dihadapi Kuching.
“Ini kerana, Serian juga bukan calang-calang pasukan selepas kemenangan besar mereka pada perlawanan pertama,” katanya mengulas perlawanan kedua-dua pasukan itu di sini semalam.
Sehubungan itu, Posa mahu semua pemainnya tidak bersikap semberono dan lebih berhati-hati pada perlawanan tersebut.
Tambahnya, jentera serangan Serian yang dibarisi ramai pemain berpengalaman memerlukan fokus dan komitmen ekstra daripada seluruh pasukan untuk memastikan mereka tidak dikecewakan.
“Apapun, saya berharap status Kuching selaku juara bertahan akan menjadi pembakar semangat semua pemain untuk meneruskan momentum sekali gus melakarkan kemenangan kedua.
“Saya percaya semua pemain juga menyedari mereka berdepan tanggungjawab besar esok (petang ini) untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.
Berita positif untuk pasukan Kuching adalah semua pemain utamanya bebas daripada kecederaan dan dapat diturunkan pada petang ini.
Ia sekali gus menjanjikan saingan menarik antara kedua-dua pasukan dalam perebutan pendahulu carta kumpulan tersebut.
Perlawanan lain dalam kumpulan itu menyaksikan Sri Aman menentang Samarahan di Kompleks Sukan Sri Aman.
Saingan dalam Q1 menyaksikan Limbang menentang Mukah di Kompleks Sukan Limbang manakala Bintulu menentang Miri di Padang Dewan Suarah Bintulu.
Betong melayan kunjungan Kapit di Kompleks Sukan Betong dan Sarikei menanti kunjungan Sibu di Kompleks Sukan Sarikei untuk aksi Q2.
Semua perlawanan bermula jam 4 petang.

Kredit: UB