PERSEDIAAN: David memberi arahan kepada pemain semasa sesi latihan. |
KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak David Usop tetap optimis skuadnya
mampu menjinakkan Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Petra
Jaya malam ini. Ketika ditemui semasa sesi latihan semalam, David
berkata skuad yang mendapat jolokan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors
(PQPTRW) juga sedang berdepan situasi tidak menentu sejak kebelakangan
ini.
“Prestasi Kelantan ketika ini juga tidak konsisten dan
situasi ini harus dimanfaat sepenuhnya oleh pemain kita untuk memastikan
kemenangan malam ini. “Justeru, saya mahu pemain meningkatkan
usaha dan lebih fokus kerana kita amat memerlukan kemenangan. Paling
penting elak daripada membuat kesilapan yang tidak sepatutnya.
“Rehat
panjang memberi peluang kepada pemain mengembalikan semula kecergasan
dan kita berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan ini,”
katanya semalam. David bagaimanapun mendedahkan akan membuat rombakan kecil dalam usaha memantapkan lagi skuadnya.
Menurutnya,
ketiadaan Shreen Tambi yang digantung perlawanan memaksa beliau memberi
peluang kepada Dalglish Papin Test untuk bergandingan dengan Shahrol
Saperi di posisi tengah. Ini termasuk perubahan di bahagian
serangan di mana perancang, Junior Aparecido akan digandingkan bersama
Gilmar Jose Da Silva Filho untuk menggempur kubu Kelantan.
“Beliau
(Dalglish) mempunyai kepantasan dan juga mampu membantu di posisi
pertahanan. Saya percaya gandingannya dengan Shahrol akan membantu
menyelesaikan masalah di posisi tengah. “Cuma yang membimbangkan
keadaan Ronny Harun yang belum cergas sepenuhnya. Namun, saya percaya
beliau dapat diturunkan malam ini,” tegas David lagi.
Sarawak tidak mempunyai pilihan melainkan perlu menewaskan Kelantan untuk menjarakkan mereka dari zon penyingkiran. Skuad itu sedang menduduki tangga kesembilan dengan mengumpul 19 mata.
Kredit: Borneo Post Online
No comments:
Post a Comment