Monday, September 26, 2016

Kedudukan Skuad Ngap Sayot Belum Selamat

TANDUK: Pemain Felda United, Lutfulla Turaev (dua kiri) menanduk bola bersaing dengan
pemain Sarawak pada perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Tun Abdul Razak,
Jengka malam kelmarin. — Gambar Bernama

Skuad Ngap Sayot memerlukan sekurang-kurang satu mata untuk kekal Liga Super musim depan

KUCHING: Kedudukan Sarawak dalam Liga Super musim ini masih belum selamat meskipun terikat 3-3 ketika berdepan Felda United di tempat lawan malam kelmarin.
Kempunan tiga mata penting ternyata memaksa skuad bimbingan David Usop itu mencari sekurang-kurang satu mata untuk terus kekal dalam kempen Liga Super musim depan.
Sarawak kini menghuni tangga kelapan liga namun kedudukan itu belum terjamin berikutan perbezaan mata yang sangat rapat dengan empat pasukan lain di tangga tercorot.
“Kita belum selamat walaupun naik ke tangga kelapan, bagaimanapun jurang mata tidak jauh.
“Bila-bila kita (Sarawak) boleh jatuh ke Liga Perdana musim depan jika pasukan lain menang dengan lebihan gol dalam perlawanan seterusnya,” kata David ketika dihubungi semalam.
Apapun, Skuad Bujang Senang perlu mendapatkan kemenangan mutlak pada aksi terakhir menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sendiri, Stadium Negeri Kuching pada 22 Oktober depan.
Jelas David, keputusan seri sudah memadai untuk Sarawak kekal dalam kancah Liga Super musim depan sekiranya gagal mengutip tiga mata berharga.
Mengenai aksi bertemu Felda United malam kelmarin, David mengakui amat kecewa selepas pasukannya gagal membawa pulang tiga mata penuh.
Mendahului 3-1 pada babak pertama saingan ternyata membangkitkan semangat perjuangan tinggi anak-anak buahnya untuk meraih kemenangan.
Bagaimanapun, pasuakan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua sekali gus menamatkan saingan dengan keputusan seri.
“Tidak dinafikan kecewa dengan keputusan malam Sabtu lalu kerana kita bermain dengan baik walaupun Felda United terlebih dahulu menjaringkan gol.
“Selepas itu, kita bangkit menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Tommy Mawat sebelum rakan sepasukan, Nur Shahmi dan Gilmar da Silva menggandakan jaringan memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.
Felda United kemudian mengatur gerakan apabila bersambung babak kedua perlawanan yang akhir berjaya mengikat kedudukan sehingga tamat sepenuh masa.
David tetap memuji aksi terbaik yang dipersembahkan oleh semua pemain kerana berjaya bertahan daripada dikecewakan.
Menjelang perlawanan berikutnya, David mahu menggunakan tempoh rehat panjang untuk mempersiapkan jentera pasukan dengan misi kemenangan sebelum melayan kunjungan PDRM di Kuching nanti.
Kredit: UB

Wednesday, September 21, 2016

KK FT Muncul Juara Futsal Cabaran Piala Hari Malaysia


MIRI: Pasukan KK FT muncul juara Kejohanan Futsal Cabaran Piala Hari Malaysia 2016 selepas mengalahkan satu lagi pasukan finalis, pasukan KPA FA dalam perlawanan akhir Ahad lalu.
Penganjur pertandingan, Lee Joon Soon berkata selaku juara KK FT membawa pulang wang tunai RM1,000, piala pertandingan dengan lapan medal iringan.
Meskipun kandas dalam perlawanan akhir, KPA FA tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya menerima RM500, piala serta medal iringan.
Tempat ketiga milik pasukan Tolo Tolo FC yang turut menerima wang tunai RM300, piala serta medal.
Sebanyak 28 pasukan menyertai kejohanan tiga hari sempena sambutan Hari Malaysia iaitu pada 16, 17 dan 18 September lalu.
Lee turut berpuas hati dengan setiap pertandingan yang dianjurkan mendapat sambutan luar biasa daripada pemain-pemain futsal tempatan dan luar Miri.
Menurutnya, ia adalah salah satu daripada ratusan pertandingan yang dianjurkan di Bandaraya Miri dalam usaha membudayakan aktiviti sihat kalangan masyarakat.
Sempena Hari Malaysia, City Sport Miri juga mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan itu bertujuan memupuk dan menanam semangat berpasukan dalam sukan bola sepak.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Lee sebaik sahaja tamat perlawanan akhir.

Tuesday, September 13, 2016

Presiden Baharu Diharap Kembali Gemilangkan Sarawak


MENJELANG mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang berlangsung 17 September ini, pelbagai nama disebut-sebut bakal menduduki 'kerusi panas' selaku presiden.

Antara nama popular termasuk Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing yang dikatakan bakal menerima pencalonan kukuh.

Bagaimanapun, harapan untuk melihat James menerajui kepimpinan FAS tidak kesampaian apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kapit, Kennedy Kuyang menafikan perkara itu.

"Beliau (James) tidak akan bertanding dalam AGM akan datang disebabkan faktor masa dan jadual kerja yang padat," kata Kennedy.

Nama lain yang dikhabarkan sesuai untuk bertanding jawatan ini adalah Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Karim dilihat sebagai calon sesuai kerana penglibatannya dalam memartabatkan sukan dan belia di negeri ini.

Apa yang penting sekarang penyokong Sarawak dahagakan kebangkitan agar skuad Ngap Sayot kembali mencabar kejuaraan Liga Super atau Piala Malaysia.

Sekitar tahun 90an dan awal 2000, Sarawak muncul sebagai pencabar utama liga di Malaysia sehinggakan agak sukar untuk mengalahkan Sarawak ketika beraksi di Stadium Negeri.

Kredit: Sarawakiana

Saturday, September 10, 2016

David Optimis Sarawak Jinakkan Kelantan Malam Ini

Pemain diingat tingkat usaha, fokus kepada kemenangan!!!

PERSEDIAAN: David memberi arahan kepada pemain semasa sesi latihan.
KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak David Usop tetap optimis skuadnya mampu menjinakkan Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini. Ketika ditemui semasa sesi latihan semalam, David berkata skuad yang mendapat jolokan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) juga sedang berdepan situasi tidak menentu sejak kebelakangan ini.

“Prestasi Kelantan ketika ini juga tidak konsisten dan situasi ini harus dimanfaat sepenuhnya oleh pemain kita untuk memastikan kemenangan malam ini. “Justeru, saya mahu pemain meningkatkan usaha dan lebih fokus kerana kita amat memerlukan kemenangan. Paling penting elak daripada membuat kesilapan yang tidak sepatutnya.

“Rehat panjang memberi peluang kepada pemain mengembalikan semula kecergasan dan kita berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya semalam. David bagaimanapun mendedahkan akan membuat rombakan kecil dalam usaha memantapkan lagi skuadnya.

Menurutnya, ketiadaan Shreen Tambi yang digantung perlawanan memaksa beliau memberi peluang kepada Dalglish Papin Test untuk bergandingan dengan Shahrol Saperi di posisi tengah. Ini termasuk perubahan di bahagian serangan di mana perancang, Junior Aparecido akan digandingkan bersama Gilmar Jose Da Silva Filho untuk menggempur kubu Kelantan.

“Beliau (Dalglish) mempunyai kepantasan dan juga mampu membantu di posisi pertahanan. Saya percaya gandingannya dengan Shahrol akan membantu menyelesaikan masalah di posisi tengah. “Cuma yang membimbangkan keadaan Ronny Harun yang belum cergas sepenuhnya. Namun, saya percaya beliau dapat diturunkan malam ini,” tegas David lagi.

Sarawak tidak mempunyai pilihan melainkan perlu menewaskan Kelantan untuk menjarakkan mereka dari zon penyingkiran. Skuad itu sedang menduduki tangga kesembilan dengan mengumpul 19 mata.

Kredit: Borneo Post Online