KUCHING: Sarawak kempunan melakarkan kemenangan apabila tewas tipis
2-1 di pangkuan Kedah pada aksi Piala Malaysia 2014 di Stadium Negeri
di sini malam tadi. Beraksi di kandang sendiri, skuad
Ngap Sayot nampak garang pada awal babak apabila melancarkan serangan
bertali arus ke kubu Sang Kenari.
Ketua pasukan, Joseph Kalang Tie
melakukan ujian awal ke gawang Kedah pada minit ke-11 namun bola
rembatannya dari luar kawasan penalti agak sipi. Anak-anak buah
Robert Alberts terus melakukan asakan dengan percubaan baik menerusi
tandukan oleh pemain import, Gabor Gyepes pada minit ke-16 namun
ditangkap kemas oleh penjaga gol pasukan pelawat.
Bagaimanapun,
Kedah sekali-sekala melancarkan serangan berjaya menembusi gawang
Sarawak dengan jaringan pada minit ke-30 hasil sentuhan Muhd Farhan
Roslan setelah menerima hantaran cantik Nam Kung Woong. Babak
pertama, Sarawak ketinggalan 1-0 kepada pasukan pelawat memaksa Alberts
memerah otak merencana strategi ampuh untuk anak-anak buahnya melakukan
sesuatu terbaik bagi menggembirakan ribuan penyokong setianya.
Percaturan
Alberts nyata berbisa apabila penyerang import, Ryan Alan Grif-fiths
menjaringkan gol pen-yamaan pada minit ketiga babak kedua hasil umpanan
cantik S Chanturu. Minit ke-61, Sarawak hampir-hampir
menghasilkan jaringan apabila Rashid Aya melakukan tandukan padu yang
tersasar sedikit di pintu gol kedah.
Sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil, Kedah menghukum Sarawak dengan jaringan kemenangan oleh Billy Osman Mehmet. Kekalahan itu ternyata menyentap semangat Ngap Sayot untuk bersaing merebut tempat dua pasukan ke peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, Sarawak perlu melangsaikan kesemua baki tiga perlawanan timbal-balik Kumpulan B yang akan bermula Rabu ini. Sarawak kini kekal dengan tiga mata hasil satu kemenangan menentang Terengganu di tempat sendiri pada aksi pembukaan.
Skuad
Ngap Sayot akan berkunjung ke Alor Setar, Rabu ini (27 Ogos) untuk
membuat perhitungan timbal-balik dengan Kedah sebelum melayan
kunjungan Perak di Stadium Negeri Kuching pada 30 Ogos (Sabtu) depan.
No comments:
Post a Comment