KUALA PERLIS: Skuad renang Sarawak menamatkan saingan SUKMA XVII
dengan meraih sembilan emas, lima perak dan tiga gangsa untuk meletakkan
mereka kedudukan ketiga di belakang kontinjen Selangor dan Wilayah
Persekutuan. Selangor selaku juara mengutip 11 emas, 18 perak dan 13
gangsa manakala Wilayah Persekutuan dengan 10 emas, enam perak dan
sembilan gangsa.
Secara keseluruhan, pencapaian kontinjen renang
Sarawak dalam acara yang berlangsung selama empat hari tetap
membanggakan sekalipun gagal menyamai pungutan 10 emas, empat perak dan
tujuh gangsa pada SUKMA 2012 untuk meletakkan mereka di tempat kedua.
Perenang
kebangsaaan Welson Sim, Erika Kong dan Angela Chieng membawa pulang
tiga emas setiap seorang manakala Vernon Lee menggondol dua emas dan dua
perak. Welson turut cemerlang dengan meraih perak dalam acara 4x100m
Gaya Bebas, diikuti Angela yang turut menambah satu pingat perak dan
satu gangsa. Pemenang pingat lain termasuk Alex Tiong (1 emas, 1 perak, 1
gangsa), Ngui Jiung Wei (1 emas, 1 perak), Nita Wong (1 emas, 1 gangsa)
dan Tan Tyng (1 emas).
Kuartet lelaki Sarawak juga berjaya
mencatat rekod baharu dalam acara 4x200m Gaya Bebas dengan catatan masa
07:47.31s, memadam rekod lama milik mereka sendiri di Pahang dengan
07:50.29s.
Sekalipun gagal menyamai jumlah pungutan emas pada
SUKMA lalu, Ketua Jurulatih Hii Hieng Chiong tetap berbangga dengan
prestasi perenangnya pada temasya kali ini.
“Kita menetapkan
sasaran tujuh pingat emas kali ini dan saya sangat gembira kerana
perenang kita berjaya melepasi sasaran tersebut dengan meraih sembilan
pingat emas.“Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan
prestasi kita kali ini lebih-lebih perenang muda yang semakin
menampakkan peningkatan,” katanya di sini semalam. Menurutnya, tiga
perenang kebangsaan Welson, Erika dan Angela masih dapat mewakili
Sarawak pada SUKMA 2016 sekali gus memberi kepercayaan skuadnya akan
lebih menyinar pada temasya itu nanti.
Sementara itu, kontinjen
terjun berjaya memperbaiki pencapaian pada temasya kali ini dengan
menggondol dua emas, satu perak dan dua gangsa. Penerjun berusia 17
tahun, Slyvester Gaing meneruskan legasi Bryan Nickson Lomas setelah
meraih dua emas dalam acara platform dan 3m terjun berirama bersama
Carlyse Chan.
Carlyse turut meraih gangsa yang dimenanginya dalam
acara 1m Papan Anjal. Di sebalik kejayaan Slyvester, empat penerjun muda
Sarawak turut mencuri tumpuan dengan berjaya menyaingi penerjun lain
yang jauh lebih tua dan berpengalaman untuk memenangi pingat.
Gandingan
Enrique Maccartney (11)/Leo Ah Boon (11) berjaya memenangi gangsa dalam
acara Platform Terjun Berirama Lelaki manakala Kimberly Bong Qian Ping
(12)/ Tracia Irene Erik (10) menggondol perak dalam acara Platform
Terjun Berirama Wanita.
No comments:
Post a Comment