Thursday, February 2, 2017

FAS Anjur Program Khas Untuk Skuad Lagenda Sarawak Liga Perdana 1997

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua Penyokong Bolasepak Sarawak (SFS)...

KUCHING: Tarikh 3 Februari ini pasti mengembalikan nostalgia kepada peminat dan juga penyokong bola sepak Sarawak apabila pemain Sarawak yang menjuarai Liga Perdana 1997 terlibat dengan perlawanan persahabatan menentang pilihan 'King of Croc's' di Stadium Negeri bermula jam 3 petang esok.


Menurut Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan, perlawanan tersebut diadakan bagi memperingati kejayaan Sarawak menjuarai Liga Perdana 1997 dimana beberapa bekas bintang Sarawak turut beraksi.

Beliau berkata, antara bekas pemain yang terlibat termasuk David Evans, Alistair Edwards, Ramos Sari, Ramles Sari, Mazlan Wahed, Billy Bone, John Hunter, Jalil Ramli dan ramai lagi.


"Selain itu, pada 4 Februari kelak, kita akan mengadakan beberapa program sempena memperingati kejayaan skuad Liga Perdana 1997 di Dataran Stadium.

"Antara aktiviti yang dirancang seperti konsert mini, gerai jualan jersi, gerai GB13, penjualan cenderamata dan pameran jersi lama," katanya.

Pada sebelah petang pula menurut Razali, sesi pengenalan pemain-pemain dan pegawai Piala Presiden, Piala Belia dan Skuad Kuching yang akan menyertai Liga FAM diadakan.

Kredit: Sarawakiana

Wednesday, November 23, 2016

Skuad Bola Sepak Sarawak 2017 Bakal Menampilkan 90 Peratus Pemain Tempatan


KUCHING: Skuad bola sepak Sarawak 2017 bakal menampilkan 90 peratus pemain-pemain tempatan untuk menghadapi kempen Liga Super musim depan.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Jurulatihnya, David Usop sambil berkata baki 10 peratus adalah pemain-pemain import tempatan dan asing.
“Untuk musim depan, kita akan menggunakan 90 peratus pemain tempatan serta menghadkan penggunaan import tempatan bagi memberi peluang kepada pemain-pemain tempatan beraksi dalam saingan Liga Super 2017.
“Justeru, ini peluang terbaik kepada pemain-pemain tempatan membuktikan kemampuan dan saya berharap mereka menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan dan ujian di Padang C, Petra Jaya di sini semalam.
Jelasnya, seramai lima pemain skuad Piala Presiden Sarawak pada musim ini diserapkan dalam skuad senior iaitu Nur Shamie Iszuan, Tommy Mawat, Rodney Celvin Akwensivie, Awang Kamaruddin Awang Bohan dan Abdul Rahim Abdul Razak.
Menjelas mengenai kedudukan pemain-pemain import tempatan, beliau berkata: “Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) hanya mengekalkan tiga pemain iaitu Ronny Harun, Ramesh Lai dan Shahril Saa’ri”.
“FAS juga melepaskan semua pemain import asing namun memberi peluang kepada pemain pertahanan, Teah Dennis untuk menjalani ujian bagi memburu slot pemain import.
“Kita juga akan menguji beberapa pemain import asing bermula 28 November ini. Dua daripada pemain itu beraksi bersama kelab Geylang International FC. Kita turut memanggil dua pemain dari Liberia dan mengintai pemain dari Eropah seperti Uzbekistan,” jelasnya.
Sesi ujian semalam bertujuan menguji sembilan pemain yang sedang beraksi pada kempen Liga Bola Sepak Rakyat Zon Borneo II (Sarawak) 2016/2017 dipanggil menyertai sesi pemilihan untuk mewakili skuad Liga Super Sarawak musim depan.
Mereka ialah Izzray Ifarul Roslan, Mohamad Hafis Abu Bakar, Mohd Arif Azizan Ederis, Zul Mohi (Kuching FA), Amizi Badir, Nazreen Ismail (Betong), Nur Azlan Latip (Limbang FA), Alexander Jerom (Sarikei FA) dan Jonathan Antau Ben (Kapit).

Kredit: UB Online